Menyelami rintihan rakyat melalui karya arca
Pameran arca 'Retak Di Bawah Mahkota' oleh Rahmi Bujang menyingkap persoalan kuasa dan menyasarkan sang penguasa hari ini yang leka dibuai takhta.
Gambar oleh MalaysiaNow
Pengunjung memasuki O Sculpture Art Space yang menampilkan hasil tangan Rahmi Bujang di bawah tema Tanah Airku: Retak Di Bawah Mahkota.
Galeri O Sculpture Art Space beroperasi di tapak lama Hin Bus Depot, terminal bas di Georgetown yang kini bertukar menjadi pusat seni kreatif di Pulau Pinang.
Balu kepada Allahyarham Daim Zainuddin, Na'imah Abdul Khalid berucap merasmikan pameran Tanah Airku: Retak Di Bawah Mahkota. Arwah Daim merupakan orang yang memberikan galakan kepada Rahmi Bujang mengasah bakatnya.
Rahmi Bujang (tengah) menyampaikan pasu seramik kepada Na'imah Khalid pada perasmian pameran arca.
Rahmi Bujang menerangkan sesuatu kepada penerangan kepada Na'imah Khalid. Karya beliau yang membawa mesej tajam terhadap pemimpin politik diinspirasikan oleh Allahyarham Daim Zainuddin.
Karya-karya yang dihasilkan melambangkan aspirasi tentang pemikiran dan pandangan rakyat kepada penguasa.
Rahmi Bujang menggunakan pentas karya untuk meluahkan segala persepsi di samping sindiran tajam dan pandangan rakyat terhadap penguasa yang memerintah pada hari ini.
Seorang pelancong melihat karya seni arca seramik dihasilkan Rahmi Bujang di pameran Tanah Airku: Retak Di Bawah Mahkota.
Sebahagian daripada siri karya 'Tangan Kiri Kuasa' oleh Rahmi Bujang, bertujuan untuk menyampaikan refleksi kritis mengenai kuasa, politik dan ketamakan institusi.
Karya berjudul 'Jejak Yang Berselerak' membawa naratif perjalanan tanah air yang tidak pernah lurus, berliku-liku dan bercabang, melambangkan rakyat yang sentiasa mencari ruang hidup dalam lingkaran sejarah dan kuasa.
Kata-kata yang tertulis pada setiap karya merupakan nukilan rakyat kepada sang penguasa. 'Rakyat retak menampung beban, menjadi bahu bagi sistem rosak, yang memegang berselindung tangan, yang terbelit mati yang menampung patah.'
Karya 'Di Atas Takhta Kepura-puraan' menyerupai susunan bertingkat jamban, simbol kuasa yang bersifat menindas, tidak bermoral dan membusuk dari atas ke bawah.
Siri 'Lidah, Tanduk & Bayang Kuasa' menampilkan metafor wajah politik tanah air yang penuh paradoks: anggun di luar, rapuh di dalam.
Dari siri 'Kami Bukan Patik'. Sang Tuan Besar: 'Kuasa ini datang dari kamu, tetapi kerana kami sudah terbiasa duduk di atasnya.' Rakyat: 'Kalau benar kuasa itu amanah, mengapa ia dijadikan pusaka?'
Motif utama siri 'Kami Bukan Patik' ialah revolusi menerusi bentuk, tekstur dan makna, iaitu jeritan senyap rakyat yang muak dengan lakonan kuasa.
Siri arca ini yang terbina daripada cantuman bentuk bulat dan bujur melambangkan ketidakseragaman perjuangan, namun semuanya lahir daripada naluri cinta kepada tanah air.
Bagi Rahmi Bujang, arca menjadi wadah yang menyingkap wajah sebenar politik tanah air, menyindir kerakusan kuasa dan mengetengahkan keresahan rakyat yang terhimpit dalam paradoks kepimpinan.
Beliau menjadikan seni sebagai jambatan kesedaran mewujudkan ruang refleksi tentang rapuhnya perpaduan kaum dan keperluan kembali kepada nilai kemanusiaan sejagat.
Keretakan menjadi simbol retakan halus dalam sistem yang zahirnya teguh tetapi runtuh dari dalam akibat perbuatan khianat dan rakus.
Setiap karyanya mencerminkan rakyat yang sebetulnya pemilik sah tanah ini, tetapi kini menjadi hamba di bumi sendiri.
