Pendedahan mengejutkan syarikat rokok pernah tawar bekas menteri kesihatan rasuah RM50 juta gugurkan GEG
Pendedahan itu dua tahun selepas Putrajaya memutuskan untuk tidak memasukkan peruntukan mengekang tabiat rokok di kalangan generasi muda yang ditentang syarikat tembakau.
Terkini
Nukilan seorang pemimpin PKR untuk menghargai bekas menteri Dr Zaliha Mustafa, yang baru-baru ini digugurkan daripada Kabinet, kini mencetuskan kontroversi baharu yang mengaitkan keputusan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 2023 untuk tidak meneruskan sebuah peruntukan mengharamkan penjualan produk tembakau dan vape kepada generasi muda.
Sivamalar Genapathy, timbalan setiausaha agung PKR yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik Zaliha ketika beliau memegang jawatan menteri kesihatan, mendedahkan bahawa syarikat tembakau pernah menawarkan bayaran RM50 juta sebagai ganjaran kerajaan menggugurkan Dasar Generasi Penamat (GEG), sebahagian daripada rang undang-undang anti-merokok yang satu masa dulu giat dipromosikan pendahulunya, Khairy Jamaluddin.
"Apabila berdepan dengan syarikat tembakau dan kepentingan korporat besar, beliau tidak berganjak," tulis Sivamalar dalam catatan Facebook minggu lalu.
"Pernah ditawarkan RM50 juta untuk menggugurkan dasar Generational End Game. Beliau menolak tanpa ragu dan meminta mereka keluar. Saya berada di situ. Saya menyaksikannya sendiri. Itu bukan keberanian yang dibuat-buat. Itu keberanian yang lahir daripada nilai."
Pendedahan itu bagaimanapun menimbulkan persoalan apabila portal berita kesihatan, CodeBlue, memetiknya sebagai berkata bahawa Zaliha tidak melaporkan insiden percubaan merasuah itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis.
"Tiada siapa yang boleh menghalang kami pada masa itu. Kami tidak mahu membuang masa. Kami hanya fokus pada apa yang sepatutnya kami lakukan," beliau memberitahu CodeBlue.
Di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009, adalah merupakan satu kesalahan sekiranya seseorang yang menerima, ditawarkan, atau diberi rasuah tidak melaporkan perkara itu, dan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun.
Pada Disember 2023, Zaliha dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri sebagai menteri Wilayah Persekutuan, dan tempatnya di Kementerian Kesihatan digantikan oleh Dzulkefly Ahmad dari Amanah. Zaliha baru-baru ini digugurkan terus dari Kabinet manakala portfolio beliau dipenuhi Hannah Yeoh dari DAP.
Pendedahan terbaru ini lebih dua tahun selepas Kementerian Kesihatan yang dipimpin Zaliha mengumumkan kerajaan menggugurkan peruntukan GEG dalam RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok.
Susulan pengumuman itu, Khairy dengan nada menyindir mengucapkan tahniah kepada syarikat tembakau kerana berjaya dalam usaha melobi.
"Saya gubal GEG demi kesihatan awam dan bentang di Parlimen, sebelum ini. RUU ini mengandungi langkah pengawalan bagi penjualan vape serta GEG dan mendapat sokongan daripada komuniti kesihatan awam," kata bekas menteri kesihatan itu pada November 2023.
Bekas ketua Pemuda Umno itu turut membidas kerajaan susulan pengakuan timbalan Zaliha, Lukanisman Awang Sauni, bahawa pelobi tembakau sememangnya hadir di bangunan Parlimen.
Akhirnya kita tahu kebenaran, iaitu keputusan itu dibuat bukan demi kesihatan awam, tetapi kerana tunduk kepada kepentingan komersial daripada syarikat-syarikat tersebut," kata Khairy dalam podcastnya, Keluar Sekejap.
Peruntukan GEG menerima tentangan ahli Parlimen Pakatan Harapan ketika gabungan itu masih belum berkuasa, termasuk dari Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menggesa kerajaan ketika itu tidak "merempuh" undang-undang tersebut.
Ia bertujuan mengharamkan merokok dan memiliki produk tembakau dan vape ke atas mereka yang dilahirkan selepas 2007, langkah yang dijangka boleh menurunkan jumlah peratusan perokok di Malaysia daripada 21% kepada 5% menjelang 2040.
Ketika dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada Julai 2022, MalaysiaNow melaporkan bahawa wakil dari industri tembakau hadir di Parlimen untuk melobi ahli Parlimen supaya membantah RUU itu.
Pada Mac tahun lepas, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja terhadap dakwaan syarikat tembakau telah melobi wakil rakyat di dalam Parlimen.
Menurut CAP siasatan sedemikian penting bagi merungkai sejauh mana pelobi menyusup dan berpengaruh ke atas wakil rakyat.
"Kami juga ingin mengetahui siapa di sebalik usaha untuk mensabotaj GEG. Melainkan menyalah guna proses Parlimen ini dicegah, ia akan membuka pintu kepada kuasa luar, termasuk kerajaan asing, untuk mempengaruhi kerajaan untuk melaksanakan agenda mereka," kata Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader.
Keputusan kerajaan untuk tidak melaksanakan GEG selaras dengan langkah beliau mengeluarkan cecair atau gel nikotin - bahan utama dalam produk vape - daripada Akta Racun, membolehkan bahan itu dijual secara sah kepada golongan bawah umur.
Ia mencetuskan protes daripada aktivis anti-tembakau dan kumpulan perubatan, termasuk Persatuan Ahli Farmasi Malaysia, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia dan NGO pejuang kesihatan awam, Galen Centre.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
