- Iklan -
Berita

Nga masih tidak mohon maaf kepada wartawan, media diingatkan jangan jadi alat 'foto op'

Selepas secara terbuka memarahi seorang wartawan, pemimpin DAP itu sekadar berkata berkata 'kemungkinan wujudnya kekhilafan' tetapi tidak memohon maaf.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming.
Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming.

Di sebalik kecaman pelbagai pihak, pemimpin DAP Nga Kor Ming bertegas beliau masih "menghormati kebebasan media", walaupun masih enggan membuat permohonan maaf kepada seorang wartawan yang diugutnya kerana bertanya soalan mengenai penggunaan bahasa kebangsaan dalam slogan projek di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Sebaliknya, Nga sekadar berkata "kemungkinan wujudnya kekhilafan" ketika sidang akhbar pada 29 Oktober, sambil menambah beliau ingin berjumpa pihak media yang terlibat "supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan baik dan teratur".

"Objektif saya hanya untuk bersama-sama membina sebuah masyarakat Malaysia berbilang kaum yang inklusif, progresif dan sentiasa mengangkat martabat negara di peringkat antarabangsa," katanya.

Seorang wartawan kanan memberitahu MalaysiaNow bahawa pasukan media Nga mungkin dalam proses merancang penyelesaian "ala PR" bagi "menjaga air muka", sambil memberi amaran kepada media yang terlibat agar tidak menjadi alat kepada sebarang "foto op".

"Permohonan maaf secara terbuka dan tanpa syarat daripada Nga, itu yang perlu dilakukan. Tidak kurang daripada itu. Wartawan perlu tolak sebarang percubaan photo op," katanya.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita di Ipoh hari ini, Nga sekadar membuat permohonan maaf bersifat umum "sekiranya ada rakan-rakan media yang terkilan dengan kata-kata itu".

Ia ketika tekanan semakin memuncak terhadap Nga untuk membuat permohonan maaf kepada wartawan Utusan Malaysia, Hasif Idris, selepas soalannya mengenai pilihan slogan "I Lite U" untuk projek pencahayaan bandar itu tidak disenangi menteri itu.

Dalam sidang media tersebut, Nga mengeluarkan ancaman kepada wartawan untuk "bercakap dengan ketua pengarang kamu".

"Kamu dari media mana?" soal Nga kepada Hasif, yang mahu respons Nga mengenai penggunaan bahasa kebangsaan untuk kempen "I Lite U".

Nga Kor Ming ketika sidang akhbar pada 29 Oktober, di mana beliau mengugut seorang wartawan sambil diperhatikan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Maimunah Mohd Sharif, yang dilihat tidak menegur perbuatan menteri itu.
Nga Kor Ming ketika sidang akhbar pada 29 Oktober, di mana beliau mengugut seorang wartawan sambil diperhatikan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Maimunah Mohd Sharif, yang dilihat tidak menegur perbuatan menteri itu.

"Saya akan ingat, saya akan hubungi ketua pengarang kamu," kata Nga, di samping Datuk Bandar Kuala Lumpur, Maimunah Mohd Sharif, di sebelahnya, yang dilihat tidak cuba menasihatkan menteri itu mengenai tingkah lakunya terhadap wartawan tersebut.

Nga kemudian bercakap mengenai kepelbagaian sambil menyeru rakyat Malaysia supaya "keluar dari zon selesa" bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Pada sidang akhbar yang sama, timbalan pengerusi DAP itu yang sebelum ini mencetuskan kemarahan umat Islam atas pelbagai kenyataan yang dilihat sebagai menghina Islam, kemudian cuba berseloroh dengan mengucapkan "Astaghfirullahil Azeem" (Aku mohon keampunan daripada Allah).

Insiden itu rata-rata tidak mendapat perhatian umum selama lebih 24 jam, sehingga MalaysiaNow menerbitkan petikan video daripada sidang akhbar itu yang kemudiannya tular.

Ketika laporan ini ditulis, sebuah versi TikTok klip tersebut meraih lebih 1.3 juta tontonan.

Susulan kemarahan orang ramai, Nga menjadi sasaran kumpulan wartawan dan ahli politik, dengan gesaan agar wartawan memboikot semua acara media melibatkan beliau sehingga permohonan maaf dikeluarkan.

Mereka termasuk tokoh wartawan Johan Jaafar, yang turut menggesa Nga memohon maaf.

Johan, yang juga bekas pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka - agensi yang bertanggungjawab memartabatkan bahasa kebangsaan - turut mengkritik penggunaan slogan "I Lite U" sebagai tidak wajar.

Ugutan Nga terhadap wartawan itu dilihat sebagai sebahagian daripada masalah lebih besar yang dihadapi pengamal media sejak Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil alih kuasa pada 2022, di mana portal berita dan platform media sosial kerap dikenakan pelbagai sekatan dan penapisan.

Pada Mei 2023, MalaysiaNow melaporkan aduan pengamal media mengenai campur tangan politik dalam laporan mereka.

"Sumber dari sebuah organisasi media tempatan memberitahu, bilik beritanya dihubungi seseorang daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) selepas sebuah laporan mengenai Perdana Menteri Anwar Ibrahim disiarkan," menurut laporan tersebut.

Ia berlaku susulan tindakan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memarahi Berita Harian  kerana menerbitkan laporan yang memetik penganalisis meramalkan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR), mengingatkan akhbar itu "wajib betulkan dan jelaskan" laporan itu sambil mengumumkan akan berjumpa dengan pengurusan.