'Lantikan politik' terkini di agensi Putrajaya libatkan bekas setpol Hannah Yeoh undang kemarahan
Orang ramai mempersoalkan pelantikan Edward Ling sebagai CEO TalentCorp, agensi di bawah kementerian yang diterajui pemimpin DAP.
Terkini
Keputusan menamakan seorang bekas setiausaha politik kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh untuk mengetuai sebuah agensi di bawah kementerian yang juga diterajui seorang pemimpin DAP telah mencetuskan kemarahan orang ramai di media sosial, memaksa tentera siber (cybertrooper) parti itu untuk segera mempertahankan pelantikan tersebut.
Edward Ling dinamakan sebagai CEO baharu TalentCorp, agensi ditubuhkan di bawah pentadbiran Najib Razak, yang kini merupakan sebahagian Kementerian Sumber Manusia di bawah pengerusi DAP Pulau Pinang merangkap timbalan setiausaha agung parti itu, Steven Sim.
Walaupun agensi berita kerajaan Bernama tidak menyebut latar belakang politik Ling dalam laporannya mengenai pelantikan itu, pengguna media sosial pantas melakukan pelbagai pendedahan mengenai peranannya dalam DAP, di samping hantaran lama oleh Yeoh yang merujuknya.
Ramai berkata langkah itu tidak mengejutkan di sebalik siri tindakan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan yang melanggar janjinya untuk tidak meneruskan amalan pelantikan berkaitan politik sejak mengambil alih kuasa pada 2022.
"Dulu baru dapat kuasa kata tidak akan ada lantikan politik. Sekarang boleh pula. Biasalah cakap tidak serupa bikin. Dah dapat kuasa semua boleh," kata Arman Armani dalam sebuah hantaran X, antara ratusan komen yang membanjii pelbagai platform media sosial.
Kritikan yang semakin meningkat itu dibalas tentera siber DAP yang mempertahankan pelantikan itu, sambil menyenaraikan kelayakan profesional Ling sebagai alasan.
"Ini berlaku sejak zaman Umno. Sekurang-kurangnya dia (Ling) mempunyai resume yang cantik tidak seperti beberapa pelantikan," kata salah sebuah hantaran pro-DAP.
Seorang lagi pengguna menulis: "Prinsip Madani. Kita boleh, orang lain tak boleh."
Sebuah akaun X di bawah nama Philip Yong pantas mencelah: "Katakan apa yang anda mahu, tetapi jangan nafikan kelayakannya."
MalaysiaNow sedang cuba menghubungi Ling untuk mendapatkan respons.
Dalam kenyataannya, TalentCorp berkata Ling memegang "peranan kepimpinan" di LinkedIn, Waze, Google dan L'Oréal Malaysia, sambil menambah bahawa beliau "memainkan peranan penting dalam memperkukuh keupayaan digital, memupuk kerjasama antara sektor awam dan swasta serta membangunkan ekosistem bakat serantau".
"Dengan pelantikan beliau, TalentCorp berhasrat untuk terus memacu pelaksanaan agenda transformasi bakat negara melalui kerjasama yang lebih erat antara industri, kerajaan dan rakan global," kata agensi itu.
Idea menubuhkan TalentCorp pertama kali diumumkan Najib pada 2010 dan agensi itu diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dalam usaha Program Transformasi Kerajaan dimulakan beliau bagi menangani masalah pengaliran keluar bakat dan menarik kembali rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara.
Bagaimanapun, Ling bukan satu-satunya pegawai berkait DAP dalam TalentCorp. Pengerusi agensi itu, Wong Shu Qi, merupakan timbalan ketua DAP Johor dan penolong setiausaha publisiti kebangsaan parti itu.
Sebulan selepas mengambil alih kuasa, kerajaan Anwar Ibrahim mengumumkan penamatan serta-merta pelantikan politik dalam badan berkanun, syarikat milik kementerian kewangan dan firma berkaitan kerajaan.
Tetapi apa yang berlaku ialah siri pelantikan politik, yang kebanyakannya dilihat sebagai ganjaran kepada orang parti yang tewas pada pilihan raya umum 2022.
Tahun lalu, sebuah badan pemikir berkata terdapat 135 pelantikan politik dalam badan berkanun sehingga September 2024, di samping 283 pelantikan seumpama itu dalam syarikat berkaitan kerajaan, meskipun PH berkuasa kurang setahun.
"Malaysia kini kekurangan mekanisme pelantikan yang telus dan berasaskan merit. Pelantikan boleh digunakan untuk keuntungan politik dan untuk memberikan jawatan sewenang-wenangnya. Ia boleh mengakibatkan pengawasan dan pengurusan yang lemah terhadap entiti-entiti, seterusnya menghakis kepercayaan orang ramai terhadap struktur tadbir urus Malaysia," kata Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, atau IDEAS.
Sebelum ini, pemimpin PH dan manifesto pilihan raya gabungan itu secara konsisten berjanji menamatkan pelantikan politik dalam GLC dan agensi milik kerajaan, sebaliknya berkata pelantikan akan dilakukan berdasarkan kelayakan.
Pengkritik berkata pusingan U dalam hal pelantikan politik hanyalah salah satu daripada pelbagai janji yang gagal dipenuhi oleh kerajaan Anwar.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
Paling Popular
Tiada artikel ditemui.
