'Kegagalan moral saya': Bekas staf Anwar kesal tulis rencana sokong Israel
Yusoff Rawther berusia 24 tahun ketika menulis sebuah artikel menyokong Israel, setahun sebelum diambil bekerja oleh Anwar Ibrahim.
Terkini
Seorang bekas pembantu penyelidik kepada Anwar Ibrahim tampil menyatakan rasa kesal kerana pernah menyokong Israel sebelum ini, sambil berkata rencana yang ditulisnya untuk sebuah laman berita Israel pada 2017 mencerminkan "kegagalan moral" yang didorong oleh "kejahilan".
"Saya pernah mempertahankan sesuatu yang tidak boleh dipertahankan, mengiyakan penderitaan yang saya saksikan, dan mengabaikan kebenaran demi mencipta naratif. Ia bukan analisis; sebaliknya adalah kegagalan moral," kata Yusoff Rawther, menulis kepada MalaysiaNow lebih empat bulan selepas dibebaskan daripada tuduhan memiliki dadah dan senjata api.
Pada September 2024, Yusoff dikepung sepasukan anggota polis ketika berjalan menuju kenderaan di luar kediamannya. Polis kemudiannya mendakwa menjumpai senjata api dan dadah di dalam kereta beliau.
Selepas didakwa di mahkamah, Yusoff dinafikan ikat jamin dan menghabiskan sembilan bulan di penjara, sebelum Mahkamah Tinggi membebaskannya pada 12 Jun lalu susulan perbicaraan yang mendedahkan percanggahan kenyataan saksi pendakwaraya, di sebalik spekulasi beliau mangsa konspirasi oleh individu dengan kepentingan politik.
Yusoff, yang merupakan cucu kepada aktivis pengguna terkenal Pulau Pinang Allahyarham SM Mohamed Idris, menganggap dirinya mangsa perangkap oleh individu berkuasa yang menyimpan dendam disebabkan saman sivilnya terhadap Anwar atas tuduhan serangan seksual.
Pemuda berusia 32 tahun itu, yang dilantik pemimpin PKR itu bertugas di pejabat banglonya di Petaling Jaya pada 2018 – iaitu selang beberapa bulan selepas artikel pro-Israel itu mengundang kecaman di media sosial – mendakwa ahli politik itu menyerangnya secara seksual pada Oktober 2018.
Anwar telah menafikan dakwaan tersebut.
Pada Julai 2021, Yusoff memfailkan saman sivilnya terhadap Anwar. Bagaimanapun, perbicaraan yang asalnya dijadualkan pada 16 Jun tahun ini ditangguhkan berikutan permohonan perdana menteri di Mahkamah Persekutuan untuk diberikan imuniti.
'Saya abaikan perjuangan yang menuntut maruah'
Yusoff berusia 24 tahun ketika artikelnya, "One Malaysian, standing with Israel", diterbitkan oleh laman Israel National News pada Disember 2017.
Penulisannya mempertahankan penjajahan Israel di wilayah Palestin dan mendakwa penduduk Arab "berlakon sebagai mangsa", sambil mengulangi hujah penyokong Zionis bahawa Palestin tidak pernah wujud.
Artikel itu dijadikan peluru oleh penyokong Pakatan Harapan dalam usaha memburuk-burukkan kredibiliti Yusoff, di mana sebuah NGO pro-PKR baru-baru ini membuat laporan polis menggesa beliau disiasat.
Ia mengundang respons peguam Yusoff, Rafique Rashid, yang mempersoalkan mengapa Anwar tetap mengambil anak guamnya bekerja walaupun selepas menyatakan pendirian pro-Israel dalam artikel tersebut.
Dalam penulisan terbaharunya, Yusoff berkata beliau mahu membetulkan kesalahannya, terutamanya ketika Israel melakukan jenayah perang di Gaza yang setakat ini telah meragut lebih 60,000 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
"Sampai satu ketika apabila berdiam diri bukan bermaksud berfikir mendalam; sebaliknya adalah pengkhianatan. Saat ketika kekaburan moral tidak lagi melindungi hati nurani tetapi mencemarnya. Itulah saat yang kita lalui sekarang," tulisnya.
Beliau berkata pengalamannya sendiri sebagai mangsa "jentera kuasa institusi yang korup" telah memperlihatkan kepadanya betapa dirinya tersilap apabila berpihak kepada penindas Israel.
"Bukanlah saya mahu menyamakan pengalaman saya dengan mereka yang dikepung atau dijajah, tetapi saya tahu apa yang dimaksudkan dengan kebebasan yang dirampas oleh pembohongan. Tempoh masa yang dilalui itu, bersama keperitan dan ketenangannya, memaksa saya untuk mempertimbangkan semula apa yang selama ini disangkakan keadilan, kuasa dan kebenaran."
Yusoff berkata artikel yang ditulisnya dulu adalah hasil daripada "keyakinan yang tidak saya miliki" dan "derita yang tidak saya alami".
"Saya memperlekeh suara-suara yang merayu mempertahankan maruah mereka," tulis Yusoff.
"Sebuah bangsa terperangkap di antara penjajahan dan hidup dalam buangan, dinafikan kedaulatan, dan dilucutkan keperluan asas kehidupan. Apa yang dipanggil 'konflik' bukanlah suatu perlawanan adil. Ia merupakan penjajahan berpanjangan sebuah bangsa, yang dilaksanakan dengan kuasa tentera, birokrasi dan hukuman kolektif."
Yusoff seterusnya berkata beliau sedar penjelasannya tidak memadai dalam membetulkan kesilapan lampau.
"Kata-kata bukanlah penebusan. Namun ia adalah permulaan. Penebusan wujud seiring dengan kebenaran, serta dengan kesedaran dan sikap tegas menolak kezaliman," katanya.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
