- Iklan -
Berita

BDS Malaysia tolak alasan Anwar benarkan syarikat bantu Israel sertai pameran KL

Badan yang menganjurkan kempen boikot Israel itu mahu kerajaan menilai semula hubungan dengan syarikat terbabit.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Lockheed Martin, yang membantu sistem pertahanan Israel, antara syarikat yang menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia di Kuala Lumpur.
Lockheed Martin, yang membantu sistem pertahanan Israel, antara syarikat yang menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia di Kuala Lumpur.

Pergerakan antarabangsa memulau Israel - Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) - mempersoalkan alasan diberikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam mempertahankan syarikat pertahanan yang membekal senjata kepada Israel untuk menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia 2024 (Natsec) di Kuala Lumpur.

Presiden BDS Malaysia Nazari Ismail berkata tidak timbul sama ada sesebuah syarikat itu berdaftar di Israel, kerana hakikatnya ia terlibat secara langsung dalam membantu negara Zionis itu melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

“Jika kerajaan serius untuk membela rakyat Palestin, kerajaan kena kaji semula hubungan dengan syarikat-syarikat ini kerana kita mahu mereka berhenti serta-merta daripada membantu Israel menzalimi rakyat Palestin," Nazari memberitahu MalaysiaNow.

Semalam, penunjuk perasaan berkumpul di luar Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) bagi membantah penyertaan beberapa syarikat yang membekalkan peralatan ketenteraan kepada Israel, yang turut digunakan dalam serangan ke atas Gaza.

Syarikat yang dimaksudkan ialah Lockheed Martin dan MBDA (BAE Systems) selain daripada Aim Point, Colt, L3Harris, Leupold, Shield AI dan Leonardo.

Penyertaan mereka turut dikecam bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang menuntut kerajaan menghalau syarikat-syarikat itu dari Malaysia.

Anwar bagaimanapun mempertahankan tindakan kerajaan membenarkan mereka mempamerkan produk di pameran itu, dengan berkata ia tidak menjadi masalah selagi mereka bukan berdaftar di Israel.

Nazari mengingatkan kerajaan supaya tidak mengamalkan sikap "business as usual" dengan syarikat terbabit.

Katanya, kerajaan juga perlu berhenti berurusan dengan syarikat tersebut, di samping menolak segala bentuk perolehan atau pembelian kelengkapan tentera.

"Adalah sangat penting untuk kita bertindak menyekat pembunuhan beramai-ramai di Gaza sekarang.

"Salah satu caranya adalah memastikan syarikat-syarikat ini dipertanggungjawabkan atas keterlibatan mereka dan menyeru semua pihak untuk tidak memberi sebarang kontrak perniagaan kepada mereka," kata Nazari.

Alasan Anwar bahawa hanya syarikat yang berdaftar di Israel akan dihalang daripada menyertai pameran itu mengundang persoalan sama ada Malaysia akan membenarkan syarikat lain walaupun terlibat membantu Israel.

Ini kerana syarikat Lockheed Martin, walaupun berpengkalan di AS, jelas menyatakan penglibatannya membina sistem pertahanan Israel.

Dalam laman web rasminya, Lockheed Martin berkata ia “bangga” dalam peranannya mempertahankan keselamatan Israel.

Lockheed Martin adalah antara syarikat pertahanan dengan pelaburan terbesar di Israel di bawah Peace Marble, program untuk membekalkan jet pejuang F16.

Pada 2014, Lockheed Martin menandatangani berpuluh-puluh perjanjian dengan syarikat pertahanan Israel, salah satu daripadanya adalah kontrak membina bahagian sayap F-35 untuk Israel Aircraft Industries (IAI) selama 15 tahun dengan nilai AS$2.5 bilion.

Kira-kira 40 syarikat Israel yang terlibat dalam pertahanan, teknologi dan penyelidikan mendapat manfaat daripada kerjasama dengan Lockheed Martin, yang dijangka melebihi AS$4 bilion.

Nazari berkata BDS Malaysia akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan bagi menyelaraskan dasar dan amalan perdagangan berpandukan dasar luar yang jelas tidak mengiktiraf Israel.

“Negara haram Israel yang dibina dengan cara menjajah bumi Palestin dan bercirikan amalan aparteid telah lama kehilangan sebarang hak untuk diiktiraf atas dasar intelektual atau moral.

“Ketidakupayaan untuk menjustifikasikan kewujudan serta tindakannya telah menjadi jelas kepada seluruh dunia.”