- Iklan -
Berita

Mahathir bidas Anwar 'takut sebut Israel' depan 'kawan-kawan' di Apec

Pemimpin veteran itu mengulas ucapan perdana menteri pada sebuah sesi tertutup dihadiri pemimpin dunia di San Francisco.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Beberapa tangkap layar rakaman video Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan dalam sesi tertutup dihadiri pemimpin dunia, termasuk Presiden AS Joe Biden dan Setiausaha Negara Anthony Blinken, pada sidang Apec di San Francisco baru-baru ini.
Beberapa tangkap layar rakaman video Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan dalam sesi tertutup dihadiri pemimpin dunia, termasuk Presiden AS Joe Biden dan Setiausaha Negara Anthony Blinken, pada sidang Apec di San Francisco baru-baru ini.

Dr Mahathir Mohamad mengkritik Anwar Ibrahim atas ucapannya di mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di San Francisco baru-baru ini kerana tidak menyebut secara jelas Israel, ketika penyokong perdana menteri itu cuba menggambarkan beliau sebagai seorang pemimpin yang tegas mempertahankan Palestin di hadapan kuasa besar.

"Yang saya nampak jelas ialah, Anwar tidak menyebut Israel sama sekali. Dia cuma menyebut 'pengganas' dalam ucapannya yang bukan main bersemangat di Amerika. 

"Tak berani sebut Israel. Kenapa? Kerana takut kawan-kawan marahlah!" kata bekas perdana menteri itu pada sebuah wacana mengenai Palestin dianjurkan Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, semalam.

Mahathir merujuk kepada sebuah klip disebarkan penyokong Pakatan Harapan (PH) di media sosial, menunjukkan apa yang didakwa adalah ucapan Anwar pada sebuah sesi tertutup dihadiri ketua-ketua kerajaan termasuk Presiden Joe Biden.

Seorang penyokong PH mendakwa pihak berkuasa AS "cuba mengawal content yang boleh dikeluarkan" daripada sesi tersebut, malah bertindak menghentikan siaran langsung ucapan pemimpin lain sebaik selesai ucapan Biden.

Dalam kiriman di Facebook, penyokong kerajaan Najib Bakar berkata klip berdurasi 2.5 minit itu dirakam oleh perwakilan Malaysia yang mengikuti siaran langsung disiarkan di ruang menunggu.

"Jurukamera PMX yang berada di lounge merakam ucapan PMX menggunakan telefon. Sebab tu kualiti audio tak berapa jelas," katanya, sambil menambah pihak AS menolak permintaan delegasi Malaysia untuk mendapatkan video rasmi sesi tersebut.

Dalam ucapannya, Anwar menyelar sikap berdiam diri sesetengah negara terhadap kekejaman di Palestin, sedangkan mereka pada masa sama menyeru negara lain mengutuk pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

"Dengan jelas, betapa indahnya jika kita tetap teguh dalam mempertahankan keadilan untuk nyawa-nyawa yang hilang ini," kata Anwar, berdasarkan sarikata Bahasa Melayu yang dipaparkan dalam klip itu.

Beliau kemudian menyentuh tentang "penganiayaan" dialaminya, dipercayai merujuk hukuman penjara yang dijatuhkan atas sabitan liwat.

Menurut Anwar, kerajaan AS ketika itu membela beliau "berdasarkan prinsip keadilan dan hak asasi manusia".

"Itu sahaja yang kami lakukan. Hentikan kekejaman ini. Hentikan pembunuhan wanita dan kanak-kanak, sekarang, kerana setiap hari yang berlalu bermakna lebih banyak bayi akan dibunuh, dan kemudian akan mengejar solusi akhir."

00999f5d-9d2f-4d77-b27b-2d8845137a1eMahathir berkata Anwar cuba menonjolkan diri sebagai penyokong kuat perjuangan Palestin.

“Tetapi tak sebut pengganas itu ialah Israel,” tambahnya.

Mahathir, 98, merupakan antara pemimpin dunia yang secara terbuka mempertahankan Hamas, kumpulan yang melancarkan serangan dari Gaza pada 7 Oktober lalu.

Mahathir yang kerap mencetuskan kemarahan di Israel dan lobi Zionis di Barat ketika menjawat perdana menteri selama lebih 20 tahun, baru-baru ini membidas pemimpin negara Islam kerana gagal melaksanakan sebarang pelan tindakan untuk menghentikan pengeboman berterusan Israel ke atas Gaza, yang sehingga kini membunuh lebih 12,000 orang awam, lebih 4,000 daripadanya kanak-kanak.

"Ramai yang terkorban, tetapi mereka hidup sebagai syahid dan wira. 

"Sebaliknya, pemimpin Islam dan Arablah yang dilucutkan maruah mereka kerana Israel, Amerika dan sekutu Barat mereka terus meremehkan mereka tanpa mengambil mereka secara serius," kata Mahathir sebagai respons kepada sidang tergempar Arab-Islam di Riyadh baru-baru ini.

Mesyuarat 11 November itu menyaksikan beberapa kerajaan Arab membantah cadangan Presiden Iran Ebrahim Raisi agar negara Islam mengenakan sekatan ekonomi dan minyak ke atas Israel serta melarang Israel menggunakan ruang udara mereka.

Menurut akhbar Times of Israel, sembilan negara - Arab Saudi, UAE, Bahrain, Sudan, Maghribi, Mauritania, Djibouti, Jordan dan Mesir - menolak cadangan itu.