- Iklan -
Berita

Jangan cuba tuding jari pada raja-raja pinda perlembagaan nafi kerakyatan kepada anak Malaysia, Bersatu beritahu PM

Bersatu membidas naratif yang mengaitkan tanggungjawab pindaan perlembagaan kepada Majlis Raja-Raja.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim (paling kiri) ketika  mesyuarat Majlis Raja-Raja pada Oktober 26, 2023.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim (paling kiri) ketika mesyuarat Majlis Raja-Raja pada Oktober 26, 2023.

Bersatu telah menyertai kritikan yang semakin kedengaran terhadap sebuah usul yang bakal dibentangkan kerajaan untuk meminda beberapa pertuntukan perlembagaan berkaitan kewarganegaraan, sambil menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengentikan naratif cuba memindahkan tanggungjawab untuk keputusan itu kepada Majlis Raja-raja.

Ia selepas Anwar berkata pindaan yang dicadangkan telah dibentangkan kepada raja-raja, sambil menambah kerajaan terbatas dalam apa yang boleh dilakukan.

"Ada had terhadap apa yang boleh kita lakukan. Selepas perbincangan, sebarang pindaan perlembagaan dalam isu kerakyatan perlu mendapat perkenan Majlis Raja-raja.

"Jadi Majlis Raja-raja akan mengambil pendirian tertentu mengenainya, dan kita perlu menghormatinya," beliau dilaporkan berkata minggu ini, di sebalik bantahan yang semakin lantang oleh beberapa pihak yang memohon kerajaan membela nasib berpuluh ribu anak kelahiran Malaysia yang dinafikan hak kerakyatan yang dijamin perlembagaan.

Bersatu mengingatkan ia adalah keputusan kerajaan untuk meminda perlembagaan mengenai perkara kewarganegaraan, satu langkah kontroversi yang telah mencetuskan amaran daripada pakar dan aktivis tentang "golongan baharu" individu tanpa kerakyatan sekiranya ia diluluskan.

"Cadangan pindaan ini telah dimulakan oleh Menteri Dalam Negeri yang membawa perkara ini ke Kabinet Kerajaan Anwar Ibrahim dan seterusnya telah membawa usul ini ke Majlis Raja-Raja.

"Pada masa ini, seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja hanya dipersembahkan dengan usul dan naratif yang dibawa oleh pihak Kerajaan dan hanya akan memberikan pengesahan sama ada perkara tersebut boleh diusulkan di Parlimen," kata Sasha Lyna Abdul Latif, Timbalan Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan Bersatu, dan Ketua Wanita Sayap Bersekutu Bersatu Malaysia, Mourhrna Anetha Reddy.

Lebih 100 pertubuhan dan aktivis yang terlibat dalam memperjuangkan kewarganegaraan sama rata sebelum ini memberi amaran kepada Putrajaya terhadap sebarang percubaan untuk meminda undang-undang kewarganegaraan yang boleh menganiaya kanak-kanak tanpa kerakyatan.

Pada Julai, Anwar berkata cadangan pindaan perlembagaan akan dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja, merujuk kepada pindaan yang akan menyelesaikan masalah kewarganegaraan yang melanda anak yang dilahirkan wanita Malaysia di luar negara yang berkahwin dengan warga asing.

Pelbagai pihak termasuk pakar masalah kerakyatan bagaimanapun memberi amaran supaya tidak meletakkan pindaan ini bersama beberapa pindaan lain yang regresif, antara yang akan menghapuskan hak kanak-kanak atau anak yatim terbiar untuk kewarganegaraan.

Sambil menyifatkan pindaan sedemikian "kejam" dan "regresif", Bersatu berkata ia sesuatu yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana kerajaan terdahulu.

"Mengapa kerajaan Pakatan Harapan terlalu bertegas untuk menarikbalik dan me-nyahkan hak mutlak ini adalah diluar jangkaan kami dan satu tindakan yang tidak masuk akal?

"Apa yang telah dilakukan secara sengaja oleh kerajaan ini adalah untuk mengambil satu inisiatif yang progresif iaitu untuk memberikan hak kerakyatan kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu yang berwarganegara Malaysia, dan meletakkan pindaan-pindaan regresif yang kejam yang akan menarikbalik hak mutlak kerakyatan kepada ramai anak-anak yang tak bersalah yang telah dilahirkan di Malaysia," kata kenyataan itu, sambil memberi amaran tindakan itu akan mengakibatkan lebih banyak kes tertunggak (backlogs) di Jabatan Pendaftaran Negara dan Kementerian Dalam Negeri, malah peningkatan lebih ramai jumlah orang tanpa kerakyatan di negara kira.