- Iklan -
Berita

China beri jaminan selepas peta Laut China Selatan cetus pertikaian, kata Anwar

Perdana menteri berkata China memberi jaminan bahawa ia akan terus berunding dengan negara-negara Asia Tenggara berhubung tuntutan wilayah yang dipertikaikan di Laut China Selatan.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata China memberi jaminan bahawa republik itu akan terus berunding dengan negara-negara Asia Tenggara berhubung tuntutan wilayah dipertikaikan di Laut China Selatan, dan mengelakkan tindakan yang boleh meningkatkan risiko. 

Bercakap kepada CNN dalam satu wawancara disiarkan hari ini, Anwar berkata Perdana Menteri China Li Qiang memberi jaminan itu selepas Beijing mengeluarkan peta dengan "10-dash line" bulan lalu yang dilihat meluaskan tuntutannya di perairan pertikaian

Malaysia dan beberapa negara Asia Tenggara lain bagaimanapun telah masing-masing menolak sekeras-kerasnya penerbitan peta tersebut.

Anwar berkata Li "jelas dan telus" mengatakan bahawa China akan terus berunding dan tidak "melakukan sebarang tindakan yang akan mengakibatkan perpecahan dengan rakan serantau." 

"Itu sangat meyakinkan," kata Anwar kepada wartawan CNN Christiane Amanpour. 

Anwar berkata Malaysia kekal bimbang dengan ketegangan yang semakin memuncak ketika China berusaha untuk mempertahankan tuntutan kedaulatannya ke atas Taiwan, sambil menambah bahawa kedua-dua pihak perlu mengelak sebarang "provokasi tidak perlu" yang boleh menjejaskan rantau itu.

Anwar juga mengulas kebimbangan yang ditimbulkan mengenai komitmennya terhadap reformasi demokrasi, selepas kerajaannya menggugurkan kes rasuah terhadap sekutu utama, memfailkan tuduhan menghasut terhadap pemimpin pembangkang, dan meningkatkan siasatan terhadap komuniti LGBTQ. 

Anwar berkata beliau tidak akan campur tangan dalam keputusan yang dibuat oleh peguam negara, sambil menambah bahawa undang-undang terhadap kenyataan berbaur hasutan yang melibatkan institusi diraja harus dihormati. 

Beliau mengulangi pendirian bahawa Malaysia tidak akan menerima hak LGBTQ tetapi berkata bahawa komuniti itu tidak harus diganggu, dan beliau mempertahankan tindakan kerajaannya yang mengharamkan penjualan jam tangan Swatch bertemakan Pride.

Kementerian Dalam Negeri tahun ini merampas dan kemudiannya mengharamkan penjualan jam tangan bertemakan pelangi daripada "koleksi Pride" Swatch, dengan mengatakan bahawa ia mungkin membahayakan moral dan kepentingan awam. 

Menjual atau memiliki bahan terlarang itu boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan denda, menurut kementerian itu. 

"Saya tidak akan mempertahankannya, mereka seperti yang kamu katakan, keterlaluan, tetapi... ada konsensus atau kata sepakat di negara, mereka tak terima (LGBT)," kata Anwar.