- Iklan -
Berita

Siasatan polis ikut Akta Perhimpunan Aman tiada asas perundangan, kata peguam

Lawyers for Liberty berkata seksyen berkenaan dibatalkan oleh mahkamah pada 2014 dalam keputusan yang masih kekal sehingga kini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Penunjuk perasaan bergerak dari Kampung Baru ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur untuk membuat laporan mengenai Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi semasa perhimpunan 'Selamatkan Malaysia', 16 September.
Penunjuk perasaan bergerak dari Kampung Baru ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur untuk membuat laporan mengenai Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi semasa perhimpunan 'Selamatkan Malaysia', 16 September.

Kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mengecam siasatan polis terhadap beberapa individu berhubung perhimpunan "Selamatkan Malaysia" hujung minggu lalu, mengatakan tiada asas undang-undang untuk siasatan di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA). 

Pengarah LFL Zaid Malek berkata siasatan berhubung dakwaan kegagalan memberi notis sewajarnya mengikut APA tidak mempunyai asas perundangan kerana Mahkamah Rayuan pada 2014 membatalkan peruntukan berkaitan. 

"Siasatan sedemikian adalah untuk kesalahan di bawah Seksyen 9(5) APA, yang menyatakan kegagalan memberi notis akan menyebabkan seseorang itu boleh didenda tidak melebihi RM10,000," katanya.

“Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan menolak Seksyen 9(5) APA kerana melanggar perlembagaan dalam kes Nik Nazmi Nik Ahmad lwn pendakwa raya pada 2014. 

"Keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes ini masih kekal dan tidak dibatalkan oleh mahkamah yang lebih tinggi."

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay semalam berkata, 25 individu yang terlibat dalam demonstrasi pada 16 September dikenal pasti dan akan dipanggil untuk disoal siasat dalam tempoh beberapa hari akan datang. 

Beliau juga berkata perhimpunan itu tidak mematuhi APA, atas alasan kegagalan memberi notis awal kepada polis, tempat perhimpunan di tempat larangan seperti masjid, dan kehadiran ramai kanak-kanak.

Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid dalam pada itu berkata perhimpunan itu gagal mematuhi keperluan Jadual Keempat di bawah Seksyen 10 APA. 

Demonstrasi itu dianjurkan Perikatan Nasional bagi membantah keputusan kontroversi peguam negara yang menghentikan perbicaraan rasuah Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. 

Zahid yang juga presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Beliau dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) pada 4 September selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan hakim permohonan Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan semua prosiding terhadapnya. 

LFL sebelum ini berkata tiada permohonan diperlukan di bawah APA, yang hanya menyatakan bahawa polis mesti dimaklumkan mengenai perhimpunan itu.

Badan pemantau pilihan raya Bersih juga sebelum ini berkata APA hanya memerlukan penganjur perhimpunan untuk memaklumkan pihak berkuasa dan "tidak perlu memohon permit atau kelulusan seperti zaman dahulu". 

Dalam kenyataannya hari ini, Zaid berkata pengisytiharan polis terhadap perhimpunan itu sebagai melanggar undang-undang kerana gagal memberi notis lengkap adalah tidak mengikut APA serta bertentangan dengan Perlembagaan yang menjamin hak untuk berhimpun secara aman.

"Kerajaan tidak boleh membenarkan polis bertindak sesuka hati dengan memulakan siasatan yang tiada asas perundangan. Kita bukan hidup dalam kerajaan polis; mereka tidak boleh menguatkuasakan apa yang bukan undang-undang," katanya. 

Beliau juga menyelar sikap berdiam diri kerajaan dalam perkara itu, menyebutnya sebagai "mengiakan tindakan luar undang-undang oleh polis". 

"Oleh itu, polis mesti menghentikan serta-merta mana-mana dan semua siasatan haram mengikut Seksyen 9(5) PAA. 

“Selanjutnya, semua siasatan atau pendakwaan yang belum selesai di bawah APA sejak 2014 juga mesti digantung, dan perkara itu dirujuk kepada peguam negara untuk dimansuhkan," katanya.