- Iklan -
Berita

Mengapa pemimpin PH senyap jika saya salah guna kuasa dalam kes Zahid, Mahathir soal Anwar

Bekas perdana menteri itu berkata kesangsian tentang kes-kes rasuah Ahmad Zahid Hamidi hanya timbul selepas Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad hari ini mengecam Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana mengaitkan pertuduhan rasuah terhadap timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi kerana enggan untuk menuruti permintaan untuk membubarkan Umno.

Bekas perdana menteri itu turut bertanya mengapa tiada seorang menteri Kabinet atau pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaannya termasuk Anwar mempersoalkan tindakan mengheret Zahid ke mahkamah.

Dalam satu kenyataan, Mahathir yang dilantik semula sebagai perdana menteri selama 22 bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, berkata ramai menteri Kabinetnya daripada PH dan PKR, termasuk isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang menjadi timbalan perdana menteri.

“Jika saya telah salah-guna kuasa dan mengarah pendakwa ketika itu untuk tekan Zahid, kenapa tidak seorang pun menteri-menteri Kabinet atau pemimpin-pemimpin parti PH, termasuk Anwar, mempersoal Zahid dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

“Kesangsian terhadap kes-kes rasuah yang dilakukan Zahid hanya timbul setelah Anwar berjaya menjadi perdana menteri dengan sokongan Zahid.”

Zahid yang juga presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN) berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. 

Beliau dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) pada 4 September selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan hakim mengenai permohonan Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan semua prosiding terhadapnya.  

Anwar menafikan campur tangan dalam keputusan itu, berkata ia terletak dalam bidang kuasa peguam negara. 

Beliau juga berkata pertuduhan terhadap Zahid boleh "dipersoalkan" dan tidak dijalankan secara profesional.   

Anwar juga mengulangi dakwaan Zahid bahawa pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya pada 2019 adalah kerana beliau enggan memenuhi tuntutan Mahathir untuk membubarkan Umno.

"Bila pertuduhan diutamakan? Semasa Mahathir menjadi perdana menteri. Bila? Seminggu selepas dia panggil presiden parti kebangsaan ini (Umno) yang merupakan ahli gabungan saya, dan memberitahunya (Zahid), 'kamu bubar parti kamu dan sertai parti saya’," katanya. 

Mahathir berkata adalah "agak melucukan" jika pemimpin PH pada masa itu tidak mempunyai keberanian untuk bersuara, kerana mereka "lantang dan bersemangat" mengenai penyerahan kuasa daripada beliau kepada Anwar.

“Mungkin mereka lupa, kesemua mereka menyokong proses undang-undang yang dilakukan terhadap Zahid (dan Najib) kerana itu adalah mengikut ‘Rule of Law’ serta bukti Kerajaan PH ketika itu berjuang melawan rasuah," tambahnya, merujuk kepada bekas perdana menteri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah.

Mengakui bahawa beliau menyuruh Zahid untuk membubarkan Umno, Mahathir berkata beliau berbuat demikian kerana yakin pengerusi BN itu akan menggunakan parti tersebut sebagai “bahan untuk rundingan atau tawar-menawar" untuk mengelak daripada didakwa kerana rasuah.

“Saya percaya dia cuba guna Umno semasa Muhyiddin Yassin jadi perdana menteri untuk gugurkan kes-kesnya dan apabila Muhyiddin tidak setuju, Zahid tarik balik sokongan Umno sehingga kerajaan itu jatuh.

“Selepas itu dia cuba menerusi Ismail Sabri Yaakob tetapi Ismail tidak berani nak lakukan kerana pendapat awam amat kuat terhadap Zahid. Kerana itu Ismail dipaksa bubar Parlimen dan adakan pilihan raya lebih cepat.

“Hari ini terbukti jangkaan saya benar. Dia telah guna Umno untuk memastikan Anwar jadi perdana menteri walaupun semasa berkempen di dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dia telah mendesak penyokong Umno supaya menolak Anwar dan DAP.”