- Iklan -
Berita

47 pertuduhan terhadap Zahid boleh 'dipersoalkan', kata Anwar

Perdana menteri juga mengulangi dakwaan timbalannya bahawa pertuduhan terhadapnya berpunca daripada keengganan mematuhi permintaan Dr Mahathir Mohamad untuk membubarkan Umno.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan timbalannya berhubung keputusan pasukan pendakwaan baru-baru ini untuk menghentikan perbicaraan terhadap 47 pertuduhan rasuah.

Anwar, yang sebelum ini menafikan campur tangan dalam keputusan itu sambil berkata ia terletak dalam bidang kuasa peguam negara, menambah bahawa pertuduhan terhadap Ahmad Zahid Hamidi boleh "dipersoalkan" dan tidak dijalankan secara profesional.

"Adakah 47? Setiap cek adalah pertuduhan. Jadi pertuduhan itu boleh dipersoalkan. Setiap cek yang dikeluarkan adalah pertuduhan dengan sendirinya, yang tidak semestinya dilakukan secara profesional," katanya ketika ditanya mengenai keputusan menggugurkan pertuduhan rasuah dalam sesi khas pada Sidang Kemuncak Asia Ke-10 Institut Milken di Singapura.

Anwar juga mengulangi dakwaan Zahid pertuduhan dikemukakan terhadapnya pada 2019 kerana enggan memenuhi tuntutan perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad untuk membubarkan Umno.

"Bila pertuduhan diutamakan? Semasa Mahathir menjadi perdana menteri. Bila? Seminggu selepas dia panggil presiden parti kebangsaan ini (Umno) yang merupakan ahli gabungan saya, dan memberitahunya (Zahid), 'kamu bubar parti kamu dan sertai parti saya’," katanya. 

Anwar juga memetik dakwaan "dokumen bocor" yang kononnya menunjukkan bahawa anggota pendakwaan menentang pertuduhan terhadap Zahid. 

Bagaimanapun, Anwar berkata beliau tidak mempunyai peranan dalam melepas tanpa membebaskan (DNAA) Zahid.

Zahid yang juga presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN) berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. 

Beliau diberikan penghakiman DNAA pada 4 September lalu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan hakim mengenai permohonan Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan semua prosiding terhadapnya. 

Keputusan itu menimbulkan kemarahan yang meluas, dengan Jabatan Peguam Negara berkata hakim memutuskan berdasarkan alasan kukuh yang dikemukakannya kepada mahkamah.

“Semasa membuat keputusan tersebut, hakim menyatakan bahawa alasan-alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah kukuh," katanya dalam satu kenyataan, menjawab dakwaan yang menyifatkan keputusan itu sebagai tidak bermoral.