- Iklan -
Berita

Ini masa sesuai melabur di Malaysia, kata Anwar ketika lawatan kerja ke Singapura

Perdana menteri berkata beliau memberi jaminan kepada pelabur asing bahawa tidak ada kebimbangan mengenai kestabilan politik.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz pada sesi sempena Sidang Kemuncak Tahunan Asia ke-10 Milken Institute di Singapura. Gambar: Facebook
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz pada sesi sempena Sidang Kemuncak Tahunan Asia ke-10 Milken Institute di Singapura. Gambar: Facebook

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan kepada pelabur asing dan peneraju industri dari rantau Asia bahawa isu kestabilan politik di Malaysia tidak berbangkit ketika ini.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata sekarang merupakan masa yang sesuai untuk melabur di Malaysia, apatah lagi dengan pelbagai petunjuk ekonomi dan dasar-dasar jangka panjang yang diperkenalkan kerajaan termasuklah Ekonomi Madani, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga dan Pelan Induk Perindustrian Baru 2030.

Dalam catatan di Facebooknya, beliau berkata perkara itu dijelaskan kepada lebih 400 hadirin yang kebanyakannya adalah pelabur pada sesi perbualan tengah hari anjuran badan pemikir, Milken Institute di Singapura hari ini yang turut menganjurkan Sidang Kemuncak Asia ke-10 selama tiga hari di  republik itu.

Perdana menteri yang berada di Singapura dalam lawatan kerja sehari, antara lain menyertai dua sesi khas Sidang Kemucak Asia Ke-10 Milken Institue itu,  A Conversation with the Prime Minister of Malaysia dan Malaysia’s Investment Outlook: A Conversation between YAB Prime Minister and Global Investors.

Menurut catatan itu, Anwar pada sesi berasingan turut bertemu dan berbicara dengan 22 usahawan, ketua organisasi pelaburan dan perbankan di Asia dan menggunakan kesempatan itu menjelaskan mengenai dasar fiskal negara dan makna kelestarian daripada perspektif Malaysia Madani yang mencakupi pelbagai sudut. 

Perdana menteri berkata pada sesi yang turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Luar Zambry Abd Kadir itu, beliau berkongsi pandangan berkaitan isu dan arah tuju ASEAN terutamanya dalam bidang integrasi ekonomi dan teknologi.

"Saya simpulkan bahawa Malaysia memberi fokus kepada melengkapi serta memberi nilai tambah pertumbuhan ekonomi dan sosial bersama negara-negara jiran," katanya.

Dalam catatan berasingan, Anwar turut berkongsi detik pertemuan bersama rakan sejawatnya Lee Hsien Loong pada majlis minum petang di Istana dan mereka membincangkan perkembangan semasa dan isu-isu berkepentingan yang sentiasa dekat bagi kedua-dua negara.

"Saya turut ketemu Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan di Istana. Semoga persahabatan ini terus mekar dan utuh demi rakyat Malaysia dan Singapura," katanya.

Ini merupakan lawatan kali kedua Anwar sebagai Perdana Menteri ke Singapura selepas kunjungan pertama pada Januari lepas.