- Iklan -
Berita

Speaker ‘rampas’ suara rakyat, peguam selar Johari selepas mungkir janji usul kes Zahid

Rafique Rashid berkata Parlimen adalah tempat untuk mendengar suara rakyat.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.
Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

Seorang peguam menyifatkan tindakan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul yang mungkir janji untuk membenarkan pembangkang membahas usul mengenai kes Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi sebagai satu bentuk "rampasan" terhadap ruang dan akses rakyat Malaysia untuk bersuara.

Ini susulan usul membahaskan kes tersebut oleh Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ditolak Dewan Rakyat pada Isnin.

Rafique Rashid berkata Johari sendiri sudah sedia maklum dan arif bahkan sangat memahami Perkara 63 dalam Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan kedudukan dan keistimewaan Parlimen.

Semalam, Timbalan Speaker Ramli Mohd Nir pula ketika mengulas peraturan tersebut menegaskan bahawa keputusan speaker adalah muktamad.

"Apabila berlakunya situasi seperti semalam (Isnin) dan hari ini (Selasa), maka yang kita selalu agungkan sebagai dewan untuk rakyat berbicara, Parlimen itu yang datang daripada istilah Perancis lama.

"Parlliment ialah dewan yang boleh bercakap," katanya kepada MalaysiaNow.

Sejak hari pertama persidangan Dewan Rakyat yang bermula 11 September lalu, blok pembangkang menggesa kerajaan tampil menjelaskan keputusan Jabatan Peguam Negara selepas pendakwa raya memohon mahkamah melepas tanpa membebaskan kepada Zahid membabitkan 47 kes pecah amanah dana Yayasan Akalbudi.

Tahun lalu, Zahid diarah untuk membela diri membabitkan kes-kes tersebut apabila Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah mendapati pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Sejak tahun 2018, Zahid menjadi antara individu berprofil tinggi yang dihadapkan ke mahkamah selain bekas perdana menteri Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman 12 tahun penjara di Kajang, Selangor.

Pemimpin pembangkang menuntut supaya usul itu dibahaskan segera memandangkan ia mendapat perhatian rakyat Malaysia dan media antarabangsa sejak beberapa tahun lalu.

Rafique berkata sekiranya penting yang mendapat perhatian pelbagai pihak di peringkat antarabangsa dan kedudukan Zahid sebagai individu kedua tertinggi dalam pentadbiran negara juga tidak boleh dibahaskan di Dewan Rakyat, tidak hairanlah mengapa ramai rakyat yang berani tampil mempersoalkan perkara itu.

"Ini yang rakyat nak tanya melalui wakil rakyat mereka tetapi tidak dibenarkan."

Boleh ambil tindakan undang-undang selepas ‘mungkir janji’?

Ketika ditanya, adakah ahli Parlimen pembangkang atau mana-mana pihak boleh mengambil tindakan undang-undang ataupun membuat petisyen terhadap Johari selepas beliau enggan meneruskan janji membenarkan pembahasan usul tersebut, Rafique berkata tiada tindakan di sisi undang-undang yang boleh diguna pakai terhadap speaker berkenaan.

Ini kerana, katanya, kedudukan Parlimen amat "kebal" dalam sistem kenegaraan di Malaysia.

Katanya, mana-mana prosiding  dalam majlis Parlimen sama ada di Dewan Rakyat atau Dewan Negara ataupun mana-mana jawatankuasa kedua-dua majlis itu juga tidak boleh dipersoalkan oleh mahkamah.

"Saya pun rasa speaker juga tahu mengenai hal ini tetapi sengaja dilakukan kerana ingin menutup mulut apabila orang nak bertanya kemudian tak dibenarkan," katanya sambil menambah situasi itu lebih mengecewakan apabila tiada sebarang tindakan lanjut yang boleh dilakukan untuk ubah keputusan tersebut.

Bagaimanapun, Rafique menegaskan rakyat mempunyai satu lagi pilihan yang paling penting untuk mengekalkan ruang mereka untuk bersuara dalam hal itu.

Menurut Rafique, mereka boleh terus mengkritik dan bersuara mengenai hal itu termasuklah menulis atau pun bercakap mengenainya.

"Dengan harapan wakil-wakil rakyat yang menyokong kerajaan hari ini buka mata dan buat keputusan yang lebih proaktif supaya perkara seperti ini tidak berlaku lagi."