- Iklan -
Berita

Sekat media terdesak, bercanggah perjuangan Anwar, kata PAS

Timbalan presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim mesti memenuhi ikrarnya untuk melindungi kebebasan bersuara dan kebebasan media di negara ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengecam Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung rentetan sekatan beberapa laman sesawang baru-baru ini.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengecam Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung rentetan sekatan beberapa laman sesawang baru-baru ini.

Sekatan terhadap media baru-baru ini merupakan tindakan terdesak dan bercanggah dengan perjuangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang sebelum ini  selalu membantah corak pentadbiran kerajaan terdahulu berkaitan kebebasan bersuara, kata PAS.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata perdana menteri perlu menunaikan ikrar untuk mempertahankan kebebasan bersuara dan melindungi kebebasan media seperti mana yang dijanjikan dalam manifesto beliau.

“Saya menyokong desakan oleh wartawan kanan yang mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak bertindak seolah-olah sebagai ‘Big Brother’ dengan sewenang-wenangnya menyekat kandungan dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Sudah sampai masanya rakyat dicelikkan dan difahamkan tentang sesuatu perkara dengan maklumat benar. 

“Kerajaan harus memberi rakyat peluang mempertimbangkan pilihan mereka hasil dari kebebasan bermaklumat,” tambahnya.

Selasa lalu, lapan wartawan kanan dan pemilik media hari ini memberi amaran kepada suruhanjaya itu supaya tidak bertindak sebagai "Big Brother" berikutan beberapa siri ancaman dan sekatan ke atas organisasi media di negara ini, berkata ia adalah peringatan kepada amalan pentadbiran terdahulu untuk mendiamkan pengkritik ke atas elit politik.

“Apa yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan kandungan yang dilabelkan sebagai ‘menyinggung’ itu hanyalah laporan dan pendapat yang dianggap kritikal terhadap Kerajaan,” kata wartawan terkemuka, Johan Jaaffar dan A Kadir Jasin; bekas pengerusi Bernama Azman Ujang; bekas pengarang Bernama, Yong Soo Heong dan Zakaria Wahab, serta aktivis veteran media Hussamuddin Yaacob, Chamil Wariya dan G Manimaran dalam satu kenyataan bersama.

“Kami sama sekali tidak dapat menerima sebarang percubaan untuk menggunakan agensi kerajaan seperti SKMM untuk menyoal, menapis atau menyekat portal dan kandungan berita dalam talian.”

Bagaimanapun, kritikan berhubung sekatan terhadap media itu diselar SKMM, menuduh organisasi media yang "menyebarkan berita palsu atau sengaja menyiarkan kandungan kurang tepat” yang dikatakan boleh mengancam "keharmonian masyarakat".

“Bagi memerangi isu ini, SKMM kekal berpendirian teguh dalam melaksanakan tugas dan fungsi penguatkuasaannya bagi menjaga integriti maklumat dan keharmonian masyarakat," kata pengawal selia internet itu dalam satu kenyataan beberapa jam selepas sekumpulan wartawan terkemuka memberi amaran kepada suruhanjaya itu supaya tidak membawa Malaysia kembali kepada amalan masa lalu yang menyekat kebebasan media.

Tuan Ibrahim berkata apa yang berlaku ketika ini sangat membimbangkan di mana is sekatan bersuara ini semakin berleluasa.

“Bermula dengan laman sesawang MalaysiaNow dan terbaru ke atas TV Pertiwi, saya melihat kerajaan semakin terdesak dan bimbang dengan gelombang penerimaan rakyat terhadap PN,” katanya.

SKMM mendapat perhatian baru-baru ini berikutan beberapa siri sekatan akses ke atas portal berita serta permintaan kepada platform media sosial untuk menurunkan kandungan yang mengkritik pentadbiran Anwar.

Pada Jun, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil diserang selepas portal berita MalaysiaNow disekat selama 48 jam.

SKMM tidak menjawab pertanyaan berulang kali untuk mendapatkan penjelasan. 

Bulan lalu, sebuah lagi portal berita, UtusanTV, yang dikendalikan oleh bekas kakitangan syarikat media Utusan Melayu yang kini ditutup, turut disekat.

SKMM juga menyekat akses ke atas laman sesawang Malaysia Today yang dikendalikan oleh pengkritik kerajaan Raja Petra Kamarudin, serta sebuah blog yang dikendalikan oleh bekas ahli Parlimen DAP Wee Choo Keong. 

Semakan kehakiman yang difailkan oleh Wee untuk mencabar sekatan itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu.

Terbaru, suruhanjaya itu menyekat TV Pertiwi, sebuah portal berita dalam talian yang mengkhususkan kandungan video pendek dan podcast berkaitan politik.