- Iklan -
Berita

Menghadap Sultan Kedah bersama ahli perniagaan Indonesia hanya kunjungan hormat, kata Anwar

Perdana menteri berkata pertemuan itu tiada kaitan dengan urusan permohonan perlombongan unsur nadir bumi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau bersama ahli perniagaan dari Indonesia menghadap Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah namun pertemuan itu sebagai kunjungan hormat.

Beliau berkata pertemuan itu tiada kaitan dengan urusan permohonan untuk mengusahakan aktiviti unsur nadir bumi (REE) di negeri berkenaan seperti yang didakwa Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

 “Isunya, curi nadir bumi, jangan alihkan. Menghadap Tuanku, itu jadual Sultan Kedah, jadi saya tak mahu kait. Tak bangkit soal REE… Sultan Kedah panggil saya ada hal-hal lain, termasuk ziarah makam. 

“Yang saya nak sebut di sini, isu REE jangan dialih iaitu curi nadir bumi, beri kelulusan kepada syarikat China tanpa kebenaran,” kata beliau kepada media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia 2023 (MCY Summit 2023) di Kuala Lumpur hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Sanusi mendakwa Anwar dan seorang warganegara Indonesia pernah ke negeri itu untuk meninjau tapak lombong REE sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut laporan itu, Muhammad Sanusi berkata warganegara Indonesia yang dikenali sebagai 'Reza Khalid' itu dikatakan berminat melabur dalam aktiviti melombong REE di Kedah.