Mahkamah putuskan tiada unsur fitnah, arah Guan Eng bayar kos RM30,000 kepada bekas menteri, MalaysiaNow
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang menganugerahkan ganti rugi RM50,000 kepada pemimpin DAP itu.
Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada Mac lalu yang mendapati bekas menteri Zuraida Kamaruddin dan portal berita telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.
Dalam keputusan sebulat suara, panel tiga hakim turut menolak rayuan Lim supaya menambah nilai ganti rugi sebanyak RM50,000 yang dianugerahkan kepadanya oleh Mahkamah Tinggi.
Sebaliknya, bekas menteri kewangan itu hari ini diarahkan membayar kos RM30,000 kepada Zuraida, MalaysiaNow dan pengarangnya.
Panel hakim terdiri daripada Mohd Firuz Jaffril, Ahmad Kamal Md Shahid dan Amarjeet Singh Serjit Singh.
Pada 5 Mac, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Shoba Rajah Dorai Rajah, memerintahkan Zuraida dan MalaysiaNow membayar ganti rugi RM50,000 kepada Lim.
Saman tersebut berkisar pada artikel yang diterbitkan oleh MalaysiaNow pada 10 Mei 2024, yang memetik Zuraida sebagai berkata bahawa Lim, ketika menjawat menteri kewangan antara 2018 dan 2020, telah menolak dua kali cadangan membina rumah mampu milik untuk bekas pekerja ladang di Bestari Jaya, Selangor.
Zuraida berkata beliau cuba mendapatkan dana untuk projek itu, namun Lim tidak memasukkannya dalam bajet 2019. Menurutnya, percubaan kedua juga tidak berjaya dengan alasan kekurangan dana.
Pendedahan Zuraida itu sebagai respons kepada pengumuman oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming semasa kempen Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu pada Mei 2024.
Nga ketika itu mengumumkan lebih 200 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan dibina di Bestari Jaya, iaitu sebahagian daripada DUN Kuala Kubu Baharu, tindakan yang menurut Zuraida bermotifkan politik kerana dibuat ketika kempen pilihan raya kecil itu.
Dalam samannya, Lim menafikan dakwaan yang dibuat Zuraida sambil berkata dirinya digambarkan sebagai rasis dan tidak amanah.
Semasa perbicaraan, Lim dan bekas pembantunya Tony Pua menafikan pernah mengadakan sebarang pertemuan dengan Zuraida mengenai perkara itu.
Bagaimanapun, N Jayaselan, yang berkhidmat sebagai ketua pengarah semasa Zuraida memimpin Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi berkata beliau dan Zuraida pernah bertemu Lim untuk membincangkan projek perumahan Bestari Jaya.
Apabila disoal peguam Lim, Jayaselan berkata pertemuan itu tidak didokumentasikan kerana ia merupakan perbincangan tertutup antara dua menteri.
Dalam menjelaskan keputusannya hari ini, Mahkamah Rayuan berkata artikel yang dipersoalkan itu tidak berunsur fitnah kerana ia tidak membawa maksud yang didakwa oleh Lim, iaitu kononnya beliau menyalahgunakan kuasa atau tidak layak memegang jawatan.
Menurut mahkamah, apabila dibaca secara keseluruhannya, artikel MalaysiaNow menyatakan bahawa projek perumahan itu tidak diluluskan kerana tiada dana yang tersedia pada masa itu.
Mahkamah juga berkata Mahkamah Tinggi tidak mengambil kira pembelaan yang dibangkitkan oleh ketiga-tiga defendan dengan sewajarnya, sambil menambah keputusan untuk memberikan ganti rugi kepada Lim dibuat atas alasan ketiadaan dokumentasi dan bukannya pada apa yang sebenarnya berlaku dalam pertemuan kedua-dua menteri.
Zuraida dan MalaysiaNow diwakili oleh peguam Nizamuddin Hamid dan Adib Musa, manakala Lim diwakili oleh Sankara Nair, Wong Guo Jin dan Maniggandan Gopalan.
Lihat lebih banyak liputan kami dalam hasil carian anda.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
