- Iklan -
Berita

Lagu ‘sokong penyamun’ sambut perarakan calon PH-BN di Gombak

Lagu tersebut merujuk kepada lagu gubahan daripada lirik asal filem tersohor P Ramlee.

Ahmad Mustakim Zulkifli & Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Penyokong Pakatan Harapan-Barisan Nasional di Pusat Penamaan Calon di Gombak, 29 Julai.
Penyokong Pakatan Harapan-Barisan Nasional di Pusat Penamaan Calon di Gombak, 29 Julai.

Proses penamaan calon bagi kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Gombak hari ini mencuri perhatian apabila sorakan lagu "Hoi Ya Hoi" menyambut ketibaan perarakan calon-calon dari Pakatan Harapan - Barisan Nasional (PH-BN) oleh penyokong Perikatan Nasional (PN). 

Perarakan PH-BN bersama beberapa pemimpin utama gabungan campuran itu berkumpul kira-kira 500m daripada pintu masuk pusat penamaan calon di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu. 

"Hoi hoi ya hoi...siapa sokong penyamun," sorak penyokong PN ketika perarakan PH-BN tiba di sebuah padang berdekatan kawasan sekolah berkenaan. 

Lagu tersebut merujuk kepada lagu gubahan daripada lirik asal filem tersohor P Ramlee, "Ali Baba dan 40 penyamun". 

Lagu gubahan itu dinyanyikan semula oleh penyanyi rap Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman dan dilancarkan di pentas politik sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu. 

Altimet kini merupakan calon PH bagi kerusi DUN Lembah Jaya di Selangor.

Ia juga disusuli dengan sorakan kata-kata yang dipetik daripada Pengerusi PH Anwar Ibrahim ketika berucap dalam kempen. 

"Saya ulang... esok kita memerintah...," yang kemudiannya disambung dengan gelak tawa penyokong PN. 

Sementara itu, penyokong wanita PN pula berkumpul sambil berselawat dan segelintir daruapda mereka dikesan berinteraksi secara langsung pada platform media sosial.

Suasana dan perkembangan ini menandakan permulaan kepada perang saraf bagi kempen politik sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.  

Terdahulu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin hadir ke pusat penamaan calon sekitar jam 9 pagi bagi mengiringi calon-calon DUN yang bakal bertanding 

PRN yang membabitkan enam negeri bermula hari ini dengan 173 pusat penamaan calon akan dibuka bermula 9 pagi ini.

Selain 245 kerusi DUN dipertandingkan di enam negeri itu, turut diadakan ialah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu setelah kerusi berkenaan diisytiharkan kosong berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun membatalkan kemenangan Ahmad Amzad Hashim daripada PAS pada PRU15.

Bagi PRN dan PRK berkenaan, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini selepas pengisytiharan calon-calon yang layak bertanding dan akan berakhir pada 11.59 malam, 11 Ogos nanti.