- Iklan -
Berita

Aminuddin serah kepada PM muktamadkan agihan kerusi di Negeri Sembilan

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu berkata perdana menteri masih belum membuat keputusan mengenai kerusi Lenggeng.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan Aminuddin Harun. Gambar: Bernama
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan Aminuddin Harun. Gambar: Bernama

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan Aminuddin Harun menyerahkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengumumkan soal pengagihan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu.

Beliau berkata ia termasuk kawasan DUN Lenggeng yang sehingga kini masih menjadi tanda tanya sama ada ditandingi oleh calon PH atau Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

“Kerusi Lenggeng, perdana menteri belum umumkan apa-apa lagi, … keputusan adalah di bawah kuasa Presiden, saya akur bahawa presiden yang akan umumkan, sekarang ini ada dua parti menuntut, satu ingin mempertahankan dan satu lagi menuntut,” katanya kepada pemberita.

Beliau yang ditemui selepas menyampaikan hadiah kemenangan kepada pasukan hoki wanita negeri bagi Kejohanan Liga Hoki TNB Kebangsaan 2023 berkata PH dijangka mengumumkan calon yang akan bertanding pada PRN kali ini pada 20 Julai atau 21 Julai ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata BN akan bertanding 17 DUN di negeri ini termasuk kerusi Lenggeng yang disandang oleh Parti Amanah Negara (Amanah), namun Pengerusi Amanah negeri MK Ibrahim Abd Rahman terlebih dahulu turut mengumumkan parti itu kekal bertanding di tiga kerusi DUN iaitu di DUN Klawang, Lenggeng dan Paroi.

Pada PRU14, PH menguasai 20 kerusi iaitu DAP dengan 11 kerusi, PKR (enam) dan Amanah (tiga), manakala BN pula memenangi 16 kerusi iaitu UMNO (15) dan MIC satu kerusi daripada keseluruhan 36 kawasan DUN di negeri itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.