- Iklan -
Berita

Selepas PRN, pakar gesa kekang permusuhan berterusan tentera siber di media sosial

Pergaduhan itu membawa kepada pembongkaran tidak disengajakan terhadap kebocoran data peribadi yang dikaitkan dengan skim insurans percuma Selangor.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Penyokong Pakatan Harapan-Barisan Nasional dan Perikatan Nasional di luar pusat penamaan calon di Selangor, pada hari penamaan calon untuk Pilihan Raya Negeri pada 29 Julai.
Penyokong Pakatan Harapan-Barisan Nasional dan Perikatan Nasional di luar pusat penamaan calon di Selangor, pada hari penamaan calon untuk Pilihan Raya Negeri pada 29 Julai.

Gesaan timbul untuk mengekang pergaduhan berterusan antara tentera siber di media sosial susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos yang mengekalkan status quo tetapi menyaksikan pakatan pembangkang, Perikatan Nasional (PN) semakin mendapat tempat di Selangor.

Pakar komunikasi Shafizan Mohamed berkata tentera siber harus menumpukan perhatian kepada isu yang dihadapi dan bukannya menyasarkan imej dan personaliti orang lain. 

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata pemimpin politik harus menunjukkan contoh yang baik dan menuntut komunikasi beretika di kem mereka. 

"Pemimpin politik menetapkan nada untuk tentera siber, yang benar-benar mengikuti apa yang dilakukan oleh tuan politik mereka," tambah Shafizan, dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. 

Hampir dua minggu selepas PRN pada 12 Ogos, suhu kekal tinggi di beberapa segmen media sosial berhubung isu seperti kualiti air, pembangunan dan kekayaan ekonomi di tiga negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah, yang dipertahankan dengan selesa oleh PN.

Bagaimanapun, dalam beberapa kes, serangan memakan diri ketika cubaan untuk mempersoalkan status kewarganegaraan pempengaruh DD Chronicle dan permohonannya untuk skim insurans percuma Selangor, Skim Insurans Hayat Selangor (Insan).

Ini membawa kepada penemuan butiran peribadi beberapa pengundi termasuk nombor kad pengenalan dan alamat rumah mereka digunakan tanpa mendapat persetujuan mereka.

Program Insan menyediakan perlindungan sehingga RM10,000 dan ditawarkan kepada kira-kira enam juta penduduk Selangor.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata data peribadi penduduk telah diambil daripada Suruhanjaya Pilihan Raya dan digunakan untuk mendaftarkan mereka ke dalam skim itu.

Beliau juga meredakan kebimbangan mengenai kebocoran data itu, mengatakan pendaftaran itu adalah bersifat "prapendaftaran" di mana individu perlu mengaktifkan polisi insurans berkenaan.

Tetapi ramai yang mengatakan bahawa polisi mereka sudh diaktifkan dan ada juga yang akan tamat tempoh. 

Shafizan berkata bahawa tentera siber harus mengamalkan sikap mengawal perasaan dalam apa yang mereka katakan. 

"Anda tidak boleh lepas daripada segala-galanya," tambahnya, merujuk kepada kes Insan. 

"Ini adalah kes unik di mana, daripada cuba membunuh identiti lawan, anda menjadi seorang pembocor maklumat."

Dalam pada itu, pensyarah komunikasi Abdul Aziz Azizam berkata "kesan pasca pilihan raya" menyaksikan individu dan kumpulan terperangkap dalam permusuhan berterusan.

“Semua orang perlu faham dan bertanggungjawab dalam menguruskan perbezaan pendapat antara satu sama lain, kerana ini boleh menjadi sebagai cerminan kepada parti yang mereka sokong.

“Tidak menjadi masalah jika terdapat perbezaan kecenderungan politik, tetapi ketaksuban melampau sehingga melebihi batas adalah satu perkara yang tidak beretika.

“Kita boleh berhujah dan berdebat pada ruang lingkup politik tetapi tidak perlu sehingga mendedahkan maklumat peribadi orang lain.”