- Iklan -
Berita

Tunku Ampuan Najihah mangkat

Bekas Tunku Ampuan Negeri Sembilan mangkat pada usia 100 tahun.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Tunku Ampuan Najihah Tunku Besar Burhanuddin mangkat pada usia 100 tahun hari ini. Gambar: Twitter
Tunku Ampuan Najihah Tunku Besar Burhanuddin mangkat pada usia 100 tahun hari ini. Gambar: Twitter

Bekas Tunku Ampuan Negeri Sembilan Tunku Ampuan Najihah Tunku Besar Burhanuddin, 100, mangkat di Hospital Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur pada 6.53 pagi tadi.

Almarhumah adalah Raja Permaisuri Agong kepada Yang di-Pertuan Agong ke-10 Almarhum Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Mohd Zafir Ibrahim dalam kenyataan memaklumkan jenazah Almarhumah akan disemayamkan di Istana Besar Seri Menanti dan akan dimakamkan di Makam Diraja Seri Menanti pada hari ini selepas waktu Asar.

Zafir berkata tempoh perkabungan bagi kemangkatan Almarhumah adalah selama satu hari iaitu pada hari ini.

“Selepas sahaja pengumuman ini, semua bendera hendaklah dikibarkan separuh tiang di seluruh Negeri Sembilan pada hari ini sepanjang tempoh perkabungan yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, semua masjid dan surau di Negeri Sembilan digalakkan mengadakan majlis tahlil dan doa untuk Almarhumah dalam tempoh perkabungan.

Zafir juga mendoakan semoga roh Almarhumah dicucuri rahmat.