- Iklan -
Berita

Exco kerajaan negeri PKR berang digugurkan dalam PRN Negeri Sembilan

Adun Ampangan Mohamad Rafie Ab Malek menuduh 'seorang individu' berusaha untuk memastikan beliau disingkirkan daripada kerajaan negeri.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Adun Ampangan Mohamad Rafie Ab Malek. Gambar: Facebook
Adun Ampangan Mohamad Rafie Ab Malek. Gambar: Facebook

Seorang ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR dan exco kerajaan Negeri Sembilan membidas kepimpinan parti itu berhubung keputusan untuk tidak membenarkan beliau mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan, menuduh "seorang individu" berusaha untuk menyingkirkannya daripada pentadbiran negeri.

Adun Ampangan Mohamad Rafie Ab Malek dalam satu kenyataan berkata, umum mengetahui beliau bekerja keras membantu rakyat di kawasannya dan membangunkan negeri ini secara amnya.

“Selaku penyandang Adun Ampangan, saya tersentak apabila saya tidak dicalonkan semula untuk PRN ke-15,” katanya.

“Setelah saya membuat muhasabah iaitu penilaian apa yang berlaku, penolakan saya untuk dicalonkan semula adalah kerana ada individu tertentu yang merasakan dirinya tergugat jika saya masih berada di dalam kerajaan Negeri Sembilan.

“Individu ini dan rakan-rakannya di peringkat pusat telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan saya dikeluarkan daripada kepimpinan kerajaan Negeri Sembilan.”

Rafie, yang juga timbalan ketua cabang PKR Seremban, memenangi kerusi Ampangan pada 2018.

Bagaimanapun parti itu sebaliknya mengumumkan Tengku Zamrah Tengku Sulaiman akan bertanding pada PRN 12 Ogos ini. 

Rafie berkata sebagai exco pelaburan, perindustrian, keusahawanan, pendidikan dan modal insan, beliau membawa pembangunan ke negeri ini, sambil menambah beliau dikenali sebagai wakil rakyat yang mesra yang membantu semua orang tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik.

“Saya juga dikenali dengan nilai integriti yang tinggi iaitu tidak ada satu pun terbabit dengan salah guna kuasa, rasuah, nepotisme, kronisme atau apa-apa yang mencemarkan keperibadian saya.”

Katanya, beliau sedang berusaha untuk meminta presiden PKR Anwar Ibrahim menilai semula pencalonan parti itu untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan.

“Anwar perlu membuat perubahan ini kerana kaji selidik di kawasan Ampangan menunjukkan secara majoriti mahukan saya meneruskan perkhidmatan di Ampangan.”