- Iklan -
Berita

BN, PN umum calon bagi PRK Pelangai

Naib Yang Dipertua PAS Bentong Kasim Samat akan mewakili PN manakala Ahli Jawatankuasa Umno Bentong Amizar Abu Adam akan mewakili BN.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Kasim Samat daripada PAS dan Amizar Abu Adam daripada Umno, akan bertanding merebut kerusi DUN Pelangai di Pahang.
Kasim Samat daripada PAS dan Amizar Abu Adam daripada Umno, akan bertanding merebut kerusi DUN Pelangai di Pahang.

Naib Yang Dipertua PAS Bentong Kasim Samat akan mewakili Perikatan Nasional (PN) manakala Ahli Jawatankuasa Umno Bentong Amizar Abu Adam akan mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai di Pahang bulan depan. 

Calon-calon diumumkan semalam pada acara berasingan di Bentong. 

Kasim bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai semasa Pilihan Raya Umum ke-15 tetapi tewas kepada calon BN Johari Harun dengan majoriti 4,048 undi. 

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengumumkan perkara itu berkata pemilihan semula Kasim, disepakati semua parti komponen PN.

“Parti (PAS) telah menerima senarai tiga calon...kita bawa bincang dalam Majlis Syura dan terima bahawa ketiga-tiga calon dari segi syarie layak.

“Parti bincang siapa yang terbaik, kami tengok siapa yang paling dekat dengan pengundi. Calon dari Pelangai sendiri, anak jati yang tinggal di sini," katanya seperti dilaporkan Bernama semasa pengumuman calon di Simpang Pelangai malam tadi.

Pengerusi BN Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dalam pada itu menggesa ahli Umno bekerjasama dan menyokong Amizar pada pilihan raya akan datang.

“Ahli UMNO ada 3,040 orang di Pelangai, jadi saya harap kita ahli parti kerja keras, dapat keluarkan sekurang-kurangnya 90 peratus ahli kita keluar mengundi, terus bagi sokongan dan dukungan supaya calon kita boleh menang dengan cemerlang,” katanya.

PRK Pelangai pada 7 Oktober depan diadakan selepas Johari meninggal dunia dalam nahas pesawat di Shah Alam, Selangor, pada 17 Ogos. 

Penamaan calon akan diadakan pada 23 September dan pengundian awal pada 3 Oktober.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi