- Iklan -
Berita

Cadangan pindaan undang-undang kewarganegaraan dipersembah kepada Majlis Raja-raja selepas PRN

Menteri undang-undang Azalina Othman Said berkata kerajaan sedang menyediakan dokumen mengenai cadangan pindaan Bahagian III dan Jadual Pertama dan Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Cadangan pindaan undang-undang kewarganegaraan Malaysia akan dibentangkan kepada Majlis Raja-raja selepas pilihan raya negeri 12 Ogos. Gambar: Bernama
Cadangan pindaan undang-undang kewarganegaraan Malaysia akan dibentangkan kepada Majlis Raja-raja selepas pilihan raya negeri 12 Ogos. Gambar: Bernama

Lapan cadangan pindaan kepada keseluruhan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan berhubung isu kewarganegaraan akan dipersembahkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-raja selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini selesai. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata kerajaan sedang menyediakan dokumen pembentangan mengenai kesemua cadangan yang dikemukakan dengan mengambil kira pandangan rakyat.

Beliau berkata cadangan pindaan itu membabitkan Jadual Pertama dan Kedua Perlembagaan Persekutuan yang turut meliputi isu kewarganegaraan kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu yang berstatus warganegara Malaysia.

"Sebarang cadangan pindaan terhadap Bahagian III Perlembagaan Persekutuan berkaitan perkara kewarganegaraan hendaklah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja selaras dengan kehendak peruntukan Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Azalina berkata kelapan-lapan cadangan pindaan itu adalah berdasarkan kepada dapatan melalui analisis kajian, sesi libat urus, kajian perbandingan perundangan negara lain serta perbincangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet dan Jawatankuasa Teknikal Pindaan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan Berhubung Perkara Kewarganegaraan. 

Beliau berkata cadangan pindaan itu turut memerlukan persetujuan Yang Dipertua Negeri Sabah dan Sarawak selaras dengan Perkara 161E(2)(a) Perlembagaan Persekutuan kerana membabitkan pindaan yang menyentuh hak orang yang lahir sebelum Hari Malaysia untuk menjadi warganegara disebabkan perhubungan mereka dengan kedua-dua negeri atau jaminan layanan sama rata antara orang yang lahir dan bermastautin di negeri-negeri Borneo dengan orang yang lahir di negeri-negeri Melayu.

Katanya Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri komited dalam membentangkan cadangan pindaan yang adil serta wajar.

Azalina berkata kerajaan mendengar dan mengambil maklum semua pandangan, cadangan serta maklum balas yang diterima daripada rakyat dan badan bukan kerajaan selain Pesuruhjaya Kanak-kanak Malaysia dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.

Beliau berkata kerajaan memberi jaminan untuk memelihara kepentingan hak-hak wanita atau ibu warganegara Malaysia dan juga anak-anak mereka.

"Pindaan ini memberi peluang kesamarataan jantina kepada warganegara Malaysia untuk memperoleh kewarganegaraan anaknya yang lahir di luar negara di bawah Perlembagaan Persekutuan," katanya.