- Iklan -
Berita

Kerajaan batal hasrat nafikan hak kewarganegaraan kepada bayi terbiar, anak tanpa kerakyatan

Ia di sebalik bantahan yang semakin meningkat terhadap rancangan itu yang dikhuatiri akan melahirkan kelas baharu orang tanpa kerakyatan.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Langkah kerajaan meminda peruntukan perlembagaan mengenai kewarganegaraan dibidas pelbagai pihak kerana dikhuatiri mewujudkan kumpulan tanpa kerakyatan yang lebih besar.
Langkah kerajaan meminda peruntukan perlembagaan mengenai kewarganegaraan dibidas pelbagai pihak kerana dikhuatiri mewujudkan kumpulan tanpa kerakyatan yang lebih besar.

Kabinet hari ini memutuskan untuk tidak meneruskan rancangan kontroversinya untuk menafikan kerakyatan automatik kepada anak terbiar dan anak tanpa kerakyatan yang dilahirkan di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution berkata dua daripada lapan pindaan perlembagaan yang dicadangkan yang bakal memberi kesan terhadap status kewarganegaraan anak terbiar, kanak-kanak tanpa kerakyatan dan anak yatim.

Dua peruntukan yang akan dikekalkan status quo ialah Seksyen 1(e) dan Seksyen 19b Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Seksyen 1(e) mengurniakan kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di Malaysia dan bukan warganegara mana-mana negara lain, manakala Seksyen 19b memberikan kewarganegaraan kepada bayi terbiar dan anak yatim yang dilahirkan di negara ini yang ibu atau ibu bapanya tidak dapat dikesan.

Pengkritik memberi amaran sebarang usaha memansuhkan peruntukan itu akan merampas jaringan keselamatan untuk bayi tanpa kerakyatan, anak yatim dan kanak-kanak terbiar lain.

Saifuddin berkata keputusan itu diambil selepas siri "perbincangan intensif" antara Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkepentingan berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan akan tetap meminda satu lagi peruntukan mengenai kewarganegaraan, Seksyen 1(a) dari Perkara yang sama, untuk memansuhkan peruntukan kerakyatan automatik kepada anak yang dilahirkan di mana sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapa adalah pemastautin tetap (PR). Ini supaya hanya anak kepada ibu bapa di mana seorang daripadanya warganegara Malaysia akan diberikan kewarganegaraan.

Pindaan itu dipakejkan bersama-sama satu lagi pindaan yang dialu-alukan, iaitu memberikan wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing hak sama rata dalam hal kewarganegaraan untuk anak yang dilahirkan di luar negara. 

Sebelum ini, kumpulan hak asasi dan peguam menggesa kerajaan untuk hanya meminda peruntukan mengenai hak sama rata bagi ibu Malaysia yang berkahwin dengan warga asing dalam hal kewarganegaraan automatik untuk anak mereka yang dilahirkan di luar negara.