- Iklan -
Berita

Sanusi ikrar laksanakan KXP walau apa pun halangan

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata ini termasuk menumbangkan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim jika perlu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor. Gambar: Bernama
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor. Gambar: Bernama

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor komited untuk merealisasikan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kedah (KXP), walau apa pun halangan dari mana-mana pihak.

Katanya, ini termasuk menumbangkan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim jika perlu.

Menurut Sanusi, keyakinan pelabur tergugat selepas Anwar tidak memberikan lampu hijau kepada projek berkenaan.

"Kita dah habis belanja, projek itu pun bukan saya yang bawa. Kalau saya tinggal pun saya tak rugi.

"Tetapi saya semangat negeri. Saya akan berjuang sampai jadi. Kalau Anwar tak bagi, saya tukar Anwar Ibrahim," katanya yang muncul sebagai tetamu dalam podcast Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaludin dan Shahril Hamdan semalam.

Katanya kerajaan Kedah sudah membelanjakan RM30 juta untuk merealisasikan projek berkenaan.

Sanusi baru-baru ini bertemu dengan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli ketika sesi libat urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 di Kedah baru-baru ini.

Rafizi menyatakan kerajaan Kedah perlu mengemukakan kemampanan kewangan untuk mengelakkan campur tangan kerajaan Persekutuan dari segi kewangan pada masa akan datang.

Namun kata Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri, pihaknya sudah menghantar pelan itu semasa Mustapa Mohamed yang menjadi menteri ekonomi di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin.

"Tok Pa dah bagi kepada Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas) untuk dibawa masuk ke Kabinet,” katanya merujuk kepada gelaran Mustapa.

“Tetapi mereka (pentadbiran sekarang) tak baca fail-fail lama.

"Pegawai sudah ada situ bertahun-tahun, kena tanya dia. Tapi tak percaya kat pegawai, seolah-olah tidak berlaku apa-apa," katanya.

Projek KXP kini menggunakan model kaedah pembiayaan swasta (PFI) setelah tidak berjaya mendapatkan pembiayaan daripada kerajaan Persekutuan.

Ia merupakan satu komponen daripada Kedah Aerotropolis yang turut merangkumi pusat komersial dan hab aeroangkasa.

Ia pada asalnya merupakan lapangan terbang yang akan membawa penumpang namun setelah perbincangan dengan Pulau Pinang, ia dijadikan lapangan terbang untuk kargo.

Menurut Sanusi yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, beliau sudah bertemu pengurusan wilayah Hunan di China untuk membincangkan pembangunan KXP.

Tambah beliau, pihak Hunan akan memilih Sumatera sebagai pusat agihan jika KXP tidak direalisasikan.

"Hab ekonomi wilayah Hunan dibangunkan berasaskan lapangan terbang dan membawa kargo sebanyak 1 bilion tan. 

"Kedah akan jadi pusat 'transhipment' untuk mengagihkan kargo dari Eropah ke Asia Pasifik.

“Hunan perlu cawangan baru di sini untuk beroperasi," katanya.