- Iklan -
Berita

Dr Mahathir-Muhyiddin bersekongkol untuk pertahan harta mereka, kata Anwar

Anwar Ibrahim berkata, kerajaan campuran PH-BN pada Pilihan Raya Negeri di enam negeri tidak akan terjejas, walaupun wujud kerjasama antara dua bekas perdana menteri itu.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin (kiri) dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad di kediamannya semalam. Gambar: Facebook
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin (kiri) dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad di kediamannya semalam. Gambar: Facebook

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerjasama antara Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin bukanlah satu perkara yang baru dan bertujuan untuk mempertahankan "harta" mereka.

"Kelompok itu tetap akan bersekongkol untuk mempertahankan cara mereka dan harta mereka.

"Jadi, kita bertanggungjawab untuk menyelamatkan negara tercinta,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur seperti dilaporkan Bernama.

Anwar turut berkata, kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak akan terjejas, walaupun wujud kerjasama antara dua bekas perdana menteri itu.

Pada Selasa, Muhyiddin berkunjung ke rumah Mahathir bagi mencapai persefahaman dalam beberapa isu.

Muhyiddin dalam satu kenyataan, berkata beliau mengadakan perbincangan "panjang" yang berlangsung dalam suasana "saling menghormati" dengan Mahathir dalam banyak isu terutamanya mengenai masa depan orang Melayu, topik yang menjadi tumpuan bekas perdana menteri itu sejak kebelakangan ini.

Muhyiddin bagaimanapun berkata tiada perbincangan khusus mengenai Proklamasi Melayu yang dibawa Mahathir, dokumen yang dikeluarkannya baru-baru ini di mana beliau berkata hak Melayu semalin berkurangan selama ini dan mesti dipulihkan melalui perpaduan politik kaum tersebut.

"Pada dasarnya kami bersetuju untuk mengukuhkan perpaduan orang Melayu dan meningkatkan sokongan kepada PN khususnya dalam menghadapi pilihan raya di enam buah negeri tidak lama lagi."

PRN yang melibatkan Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan secara serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.