- Iklan -
Berita

Saya bersih, kata Anwar

Perdana menteri berkata anak perempuan dan isterinya tidak mendapat manfaat daripada kedudukan beliau.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersedia memberi kerjasama termasuk disiasat mana-mana pihak berkuasa sekiranya beliau didapati terlibat dalam kes rasuah.

Anwar berkata selama tujuh bulan diberikan amanah untuk mentadbir negara, tiada satu kepentingan pun diberikan kepada keluarganya.

“Kalau kata saya terlibat kes rasuah, gunakan wang mengayakan Wan Azizah, Nurul Izzah dan anak-anak. Itu boleh bawa (lapor kepada pihak berkuasa),” katanya ketika berucap pada Kenduri Qurban di Masjid Jamek An-Nur Guar Perahu, Seberang Perai Tengah, dekat Permatang Pauh.

Pada masa yang sama, Anwar juga mengulangi kenyataan bahawa beliau tidak pernah berdendam dengan sesiapa serta mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat mana-mana individu yang terpalit dengan kes rasuah ketika ini.

“Sesiapa sahaja disiasat SPRM, itu kerja SPRM. Saya tidak arahkan kerana saya tidak mahu memfitnah.

“Saya sendiri melalui liku-liku hidup yang susah. Jadi apabila ada kuasa, takkan saya nak buat kerja sebegitu (politik dendam)…kalau lakukannya maknanya kita serupa sahaja (pimpinan dulu),” kata Anwar.

Perdana menteri menegaskan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana menteri serta timbalan menteri dalam kerajaan campuran mahupun bekas menteri sekiranya mereka terlibat dalam kes rasuah.

Menurutnya, dalam perkara itu semua badan penguat kuasa seperti SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Bank Negara dan polis telah diarahkan menjalankan tanggungjawab dengan tegas dan berani dalam kes rasuah.

Anwar berkata komitmennya untuk membanteras amalan rasuah diterima baik dan tidak pernah dibantah oleh setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan, ini termasuk segala perancangan untuk setiap pembangunan di negara ini.

“Dalam kerajaan ada Umno, Barisan Nasional, DAP, GRS (Gabungan Rakyat Sabah) dan GPS (Gabungan Parti Sarawak) belum pernah saya dapat sekalipun apa-apa bantahan daripada mereka, sama ada untuk pembangunan umat Islam, tata kelola dan banteras rasuah.

“Saya dengar bantahan dari luar sahaja…tidak hadapi masalah sebab kita melakukan perbincangan… Maka berilah peluang kita mentadbir negara ini kerana ia hampir rosak. Siapa jadi menteri dan semua kaya-raya itu, kena tukar,” kata Anwar.

Perdana menteri turut menegaskan akan terus mempertahankan prinsip membanteras rasuah serta penyelewengan walaupun menerima pelbagai ugutan.

“Macam-macam ugutan saya terima. "Geng kaya-raya berpakat…Penyakau besar bilion ringgit berpakat (ingin menjatuhkan beliau), tetapi saya lawan tetap lawan untuk mempertahankan prinsip ini,” katanya.

Sementara itu ketika ditemui pemberita, Anwar berkata kehadirannya ke Kenduri Qurban di Masjid Jamek An-Nur Guar Perahu sekadar lawatan untuk bermesra bersama penduduk setempat dan bukannya memperoleh keyakinan pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

“Tiada perkiraan mengenai matlamat (pilihan raya negeri). Tugas saya hanya untuk kembali ke sini kerana mereka begitu setia dan baik kepada saya selama ini,” katanya.

Terdahulu beliau turut menghadiri Kenduri Qurban anjuran pihak ahli jawatankuasa Masjid Jamek An-Nur Guar Perahu serta menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.