- Iklan -
Berita

Anwar lantik bapa kepada setiausaha politik ketuai MyHSR

Bekas ahli Parlimen PKR, Fauzi Abdul Rahman adalah bapa kepada Farhan Fauzi yang merupakan salah seorang setiausaha politik kepada perdana menteri.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi MyHSR Corporation Fauzi Abdul Rahman. Gambar: Facebook
Pengerusi MyHSR Corporation Fauzi Abdul Rahman. Gambar: Facebook

Perdana Menteri Anwar Ibrahim melantik bapa kepada salah seorang setiausaha politiknya sebagai pengerusi MyHSR Corp, sebuah syarikat kerajaan yang ditubuhkan pada 2015 untuk membangunkan projek kereta api laju (MyHSR) yang sudah lama terhenti.

Fauzi Abdul Rahman, bekas ahli Parlimen PKR, adalah bapa kepada Farhan Fauzi, yang merupakan salah seorang setiausaha politik kepada perdana menteri. 

Pelantikan itu, adalah kesinambungan beberapa pelantikan politik kontroversi oleh parti pemerintah, yang berlaku beberapa bulan selepas kontroversi dicetuskan oleh keputusan Anwar untuk memilih anak sulungnya Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat di Kementerian Kewangan.

Fauzi adalah bekas pemimpin Umno Pahang yang berkhidmat sebagai timbalan menteri di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum menyertai PKR pada 2008. 

Beliau kemudian dilantik sebagai pengerusi PKR Pahang. 

Fauzi kini merupakan penasihat PKR Pahang.

Projek MyHSR mula dicadangkan oleh bekas perdana menteri Najib Razak pada 2010 bagi menghubungkan Kuala Lumpur-Singapura dan ia sepatutnya siap sepenuhnya pada 2026.

Bagaimanapun, projek ini tertangguh selepas kerajaan BN ketika itu tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran kerajaan Persekutuan, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa projek berkenaan ditangguhkan buat sementara waktu berikutan kos yang tinggi. 

Namun pada 5 September 2018, kerajaan mengumumkan operasi MyHSR akan bermula pada Januari 2031.

Projek kereta api laju ini kemudiannya dibatalkan ketika pentadbiran Muhyidddin Yassin pada 1 Januari 2021.