- Iklan -
Berita

PN muktamad pembahagian 245 kerusi DUN menjelang pilihan raya di 6 negeri

PAS akan bertanding menggunakan logo sendiri di kubu kuatnya di Kelantan dan Terengganu.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi

Perikatan Nasional (PN) memuktamadkan pembahagian kerusi dalam kalangan tiga parti komponennya pada pilihan raya akan datang di enam negeri, dengan PAS akan bertanding menggunakan logo sendiri di kubu kuatnya di Kelantan dan Terengganu. 

Gabungan itu dalam satu kenyataan, berkata ia akan bertanding di semua 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di semua enam negeri. 

PAS akan bertanding di 126 kerusi, Bersatu di 83 kerusi dan Gerakan di 36 kerusi. 

Daripada jumlah itu, sejumlah 150 kerusi akan menyaksikan PN berusaha untuk merampas kerusi yang disandang wakil rakyat dari Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional.

PAS kini memerintah Kedah, Kelantan dan Terengganu, di mana sejumlah 113 kerusi DUN akan dipertandingkan. 

Baki 132 kerusi terletak di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, yang berada di bawah penguasaan PH. 

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata beliau yakin dengan peratusan keluar mengundi yang besar kali ini. 

“Saya rasa rakyat sudah letih dan marah dengan apa yang berlaku di negara ini,” katanya pada sidang media bersama pemimpin komponen PN, Abdul Hadi Awang dari PAS dan Dominic Lau dari Gerakan.

“Mereka sangat memerlukan bantuan, kerana kerajaan campuran tidak mendengar atau bertindak untuk mereka yang terjejas teruk. 

“Peratusan keluar mengundi, saya jangkakan ramai yang sudah cukup bersedia untuk keluar mengundi. Mereka boleh menggunakan ini sebagai referendum tentang perasaan mereka mengenai kerajaan di peringkat Persekutuan. 

“Kami berharap, sudah tentu, peratusan keluar mengundi akan lebih besar dan lebih baik berbanding Pilihan Raya Umum ke-15.”