- Iklan -
Berita

PN akan bina pusat jagaan kanak-kanak seluruh Selangor jika menang PRN

Mohamed Azmin Ali mendedahkan manifesto yang bakal dilaksanakan di Selangor sekiranya PN berjaya menawan negeri itu.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi PN Selangor Mohamed Azmin Ali berkata, cadangan membina pusat penjagaan kanak-kanak muncul selepas mendapati 80% wanita terpaksa berhenti bekerja semata-mata ingin menjaga anak dan ibu bapa di rumah.
Pengerusi PN Selangor Mohamed Azmin Ali berkata, cadangan membina pusat penjagaan kanak-kanak muncul selepas mendapati 80% wanita terpaksa berhenti bekerja semata-mata ingin menjaga anak dan ibu bapa di rumah.

Perikatan Nasional (PN) menyasarkan untuk membina pusat penjagaan kanak-kanak di seluruh Selangor sekiranya berjaya menawan negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Pengerusi Mohamed Azmin Ali.

Pengerusi PN Selangor itu berkata, ia adalah antara manifesto gabungan itu bagi memastikan golongan ibu dapat terus bekerja dengan tenang dalam usaha meningkatkan pendapatan isi rumah.

Bekas menteri besar Selangor itu berkata, cadangan tersebut muncul selepas mendapati 80% wanita terpaksa berhenti bekerja semata-mata ingin menjaga anak dan ibu bapa di rumah.

"Saya akan beritahu kepada semua wanita di Selangor, jangan berhenti bekerja," katanya pada Ceramah Selangor Baru PN Gempur Kuala Langat.

"Biar kami jaga anak tuan-tuan dalam pusat penjagaan kanak-kanak yang akan dibina di seluruh negeri Selangor dengan tenaga profesional."

Selain itu, Azmin berkata, inisiatif lain yang bakal diketengahkan PN ialah menjadikan negeri ini sebagai hab pertanian dengan mengusahakan tanah terbiar menerusi pertanian pintar.

Katanya, inisiatif itu bakal menyediakan peluang pekerjaan yang lebih berkualiti untuk anak Selangor dalam usaha memajukan lagi negeri tersebut.

Menyentuh mengenai prestasi Selangor dari aspek pelaburan, Azmin meluahkan rasa kecewa terhadap pimpinan Amirudin Shari apabila Johor mengatasi kedudukan Selangor bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

"Tak malu kita? Selangor ini dulu paling tinggi.

"Masa saya MB (menteri besar) dulu, kami menyumbang kepada kerajaan pusat 24%, yang tertinggi dalam negara, kalah negeri lain.

"Sekarang, tiga bulan pertama, Wilayah Persekutuan mencatatkan RM22 bilion, Johor di tempat kedua RM11 bilion manakala Selangor hanya RM7 bilion," katanya.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, kejayaan PN mentadbir sesebuah negeri boleh dinilai menerusi prestasi Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor apabila beliau pada 2021 berjaya membawa masuk pelaburan berjumlah RM68 bilion ke negeri itu.

Tambah Azmin, kemasukan pelaburan yang lebih tinggi akan menjamin peluang pekerjaan yang lebih berkualiti kepada warga Selangor.

"Kedah negeri pertanian selama berpuluh-puluh tahun. Tiba-tiba PN mentadbir, Sanusi jadi MB dapat RM68 bilion.

"Kita ada potensi, keupayaan dan kemahiran. Anak Selangor harus diberikan peluang supaya semua anak-anak Cina, India dan Melayu dapat maju," tambahnya.