- Iklan -
Berita

Malaysia di tangga ke-25 dalam penyertaan ke misi pengaman PBB

Ini menjadikan Malaysia antara negara terbesar menyumbang bilangan anggota kepada misi pengaman PBB.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin ketika berucap di Dewan Negara, 19 Jun. Gambar: Bernama
Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin ketika berucap di Dewan Negara, 19 Jun. Gambar: Bernama

Malaysia berada di tangga 25 daripada 123 negara dari segi penyertaan ke misi pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu setakat 31 Mac, Dewan Negara diberitahu hari ini. 

Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin berkata ini menjadikan Malaysia antara negara terbesar menyumbang bilangan anggota kepada misi pengaman PBB, melibatkan 859 pegawai dan anggota termasuk 98 wanita dalam lima misi pengaman PBB di Lubnan, Sahara Barat, Wilayah Abyei, Sudan Selatan dan Congo.

"Penglibatan Malaysia dalam pasukan pengaman mencerminkan komitmen negara dalam sistem pelbagai hala dan mempamerkan keprihatinan Malaysia untuk memastikan keamanan dan keselamatan di peringkat global.

"Selain itu, Malaysia juga telah memainkan peranan aktif dalam PBB dan telah dipilih sebagai ahli tidak tetap Majlis Keselamatan PBB sebanyak empat kali iaitu pada 1965, 1989 hingga 1990, 1999 hingga 2000 dan 2015 hingga 2016," katanya bagi menjawab soalan Senator Datuk Paul Igai yang ingin tahu peranan Malaysia dalam pasukan pengamanan dan bidang keselamatan global sejak menjadi ahli PBB.

Beliau berkata Malaysia secara konsisten mengambil bahagian dalam debat dan taklimat terbuka di Majlis Keselamatan PBB walaupun tidak lagi menjadi ahli tidak tetap majlis untuk berkongsi pandangan dan mengetengahkan pendirian negara mengenai isu-isu yang dipertimbangkan majlis itu. 

Menurut Mohamad menerusi keanggotaan Malaysia dalam PBB, negara akan terus memainkan peranan aktif di persada antarabangsa dengan mengambil bahagian dalam rundingan penggubalan resolusi-resolusi di Perhimpunan Agung PBB. 

Katanya ini untuk memastikan pandangan dan pendirian serta kepentingan negara di peringkat antarabangsa sentiasa diketengahkan dan dipertahankan selaras dengan dasar luar Malaysia.