- Iklan -
Berita

Perang dalaman melanda Suhakam di sebalik kempen makin rancak gulingkan pengerusi

Ini berlaku ketika Rahmat Mohamad dituduh bersikap perkauman setahun selepas pelantikannya dibuat kerajaan terdahulu.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Suhakam Rahmat Mohamad. Gambar: Bernama
Pengerusi Suhakam Rahmat Mohamad. Gambar: Bernama

Pertelingkahan di kalangan penjawat dan ahli Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kini mengancam perpecahan dalam badan itu, ditambah dengan kempen menggulingkan pengerusinya, hampir setahun selepas dilantik pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

MalaysiaNow difahamkan Rahmat Mohamad telah memfailkan saman terhadap pihak yang melemparkan pelbagai tuduhan terhadapnya, selepas beberapa pesuruhjaya Suhakam yang tidak senang dengan beliau kecewa kerana calon pilihan mereka tidak dipilih untuk jawatan menguruskan sebuah projek yang menerima dana lumayan Kesatuan Eropah (EU). 

Perkembangan itu berlaku hanya beberapa hari selepas seorang ahli Parlimen DAP mengkritik Suhakam kerana bersikap "lebih pendiam" berbanding sebelum ini.

“Dulu, kami selalu lihat pesuruhjaya turun padang dan mengadakan pelbagai aktiviti, seperti menjadi pemantau dalam perhimpunan Bersih, mengadakan pendengaran terbuka terhadap mangsa yang mengadu tentang penyalahgunaan kuasa pegawai penguat kuasa dan sebagainya.

“Tetapi pada hari ini, kami jarang baca kenyataan dan aktiviti Suhakam, dan kebanyakan kita tidak mengenali pesuruhjaya Suhakam,” kata Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok di Dewan Rakyat ketika membahaskan laporan tahunan Suhakam minggu ini.

MalaysiaNow juga difahamkan, sebuah petisyen ditandatangani 20 nama dihantar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said bulan lepas dalam usaha menggantikan Rahmat.

"Ini jelas kempen untuk menggulingkan Rahmat, dan ia semakin rancak selepas pertukaran kerajaan," kata sumber yang mengetahui tentang isu itu kepada MalaysiaNow. 

Isu calon projek EU

Isu mutakhir tertumpu kepada pencarian calon untuk mengisi jawatan kosong menyelia projek yang menerima geran berjumlah RM2.5 juta daripada EU. 

Antara dua calon termasuk seorang wanita Melayu yang sebelum ini berkhidmat sebagai penolong setiausaha dalam suruhanjaya tersebut, tetapi meletak jawatan tahun lepas selepas mendakwa dibuli seorang pegawai atasan Suhakam.

"Apabila terdapat kekosongan untuk mengendalikan projek EU, beliau adalah antara calon yang memohon jawatan berkenaan," kata sumber itu.

Panel empat penemuduga menyenarai pendek wanita tersebut di samping seorang lagi calon lelaki India bagi jawatan tersebut.

"Tetapi panel itu tidak dapat membuat keputusan disebabkan dua ahli memihak kepada lelaki terbabit, manakala dua lagi memihak kepada wanita tersebut.  

“Oleh itu mesyuarat yang dihadiri oleh pegawai dan pesuruhjaya Suhakam mencadangkan Rahmat selaku pengerusi diberikan kuasa membuat keputusan dan memecahkan kebuntuan," tambah sumber itu.

Rahmat ketika itu dikatakan lebih memihak calon wanita untuk jawatan itu, walaupun pelantikan tidak dibuat secara rasmi.

Ini kerana salah seorang yang menghadiri mesyuarat, yang juga salah seorang penemuduga, membantah cadangan membenarkan Rahmat membuat keputusan tersebut, dengan alasan calon lelaki itu lebih layak diberi jawatan itu. 

Tidak lama kemudian, aduan dibuat terhadap Rahmat menerusi sebuah unit dalaman, Kumpulan Aduan dan Pemantauan Suhakam, yang antara lain menuduhnya menyalahgunakan kuasa, berat sebelah dan bersikap perkauman.

Dalam usaha untuk membersihkan namanya, Rahmat memfailkan saman fitnah terhadap timbalan setiausaha Suhakam, Shahizad Sulaiman, yang menurutnya menjadi dalang di sebalik dakwaan itu.

Shahizad diwakili peguamnya, bekas pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan.  

Serangan terhadap Rahmat oleh puak dalam Suhakam bermula sejak beliau dilantik mempengerusikan suruhanjaya itu pada Mac tahun lepas. 

Mereka sering menyebut peranannya dalam menentang ratifikasi Statut Rom oleh Malaysia, sebuah perjanjian yang menubuhkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang berpangkalan di Belanda.

Pada 2019, Putrajaya yang ketika itu di bawah kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir Mohamad, terpaksa menarik balik ratifikasi perjanjian ditandatangani Malaysia berikutan bantahan daripada Raja-raja Melayu, yang menyuarakan kebimbangan terhadap bidang kuasa ICC terhadap kedaulatan negara termasuk peruntukan Perlembagaan mengenai hak istimewa orang Melayu dan Raja-raja Melayu.

Rahmat terlibat dalam merangka kertas kerja untuk menasihati Raja-raja Melayu mengenai kesan buruk sekiranya Malaysia menyertai Statut Rom.

Perjanjian tersebut sehingga kini tidak disertai beberapa negara utama seperti China, India, Indonesia, Arab Saudi dan Turkiye, manakala negara lain seperti Amerika Syarikat, Mesir, Iran dan Rusia menandatanganinya tanpa meratifikasinya.