- Iklan -
Berita

Kerajaan masih tunggu jawapan Arab Saudi berhubung kuota haji, kata menteri

Mohd Na’im Mokhtar memberitahu Dewan Rakyat, kerajaan masih berusaha untuk mendapatkan kuota tambahan dengan mengemukakan rayuan kepada Arab Saudi.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Umat Islam menunggu untuk menunaikan solat di hadapan Kaabah di dalam Masjidil Haram di Mekah, Arab Saudi.
Umat Islam menunggu untuk menunaikan solat di hadapan Kaabah di dalam Masjidil Haram di Mekah, Arab Saudi.

Kurang tiga minggu bermulanya ibadah haji, Malaysia masih belum menerima jawapan daripada kerajaan Arab Saudi berhubung kuota tambahan bagi jemaah haji tahun 2023.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar memberitahu Dewan Rakyat kerajaan masih berusaha untuk mendapatkan kuota tambahan dengan mengemukakan rayuan kepada Arab Saudi.

“Dan kita masih lagi menunggu kerajaan Arab Saudi untuk jawapan kepada rayuan yang kita telah buat kepada kerajaan Arab Saudi,” katanya dalam sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Kuala Krai (PN-PAS) Abdul Latiff Abdul Rahman yang bertanyakan apakah hasil lawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke negara tersebut beberapa bulan lalu khususnya melibatkan perbincangan mengenai kuota jemaah haji Malaysia.

Terdahulu, media melaporkan  Malaysia mendapat semula kuota asal jemaah haji berjumlah 31,600 dengan pertambahan kuota tambahan pertama sebanyak 350 jemaah.

Kemudian, kerajaan dilaporkan membuat rayuan kedua iaitu penambahan sehingga 10,000 lagi kuota, yang sepatutnya diumumkan pada Mei lalu.

Dasar kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota haji setiap negara pada kadar 0.1% daripada jumlah keseluruhan penduduk negara berkenaan.

Ini menjadikan kuota rasmi haji Malaysia adalah sebanyak 31,600 orang berasaskan perangkaan penduduk Malaysia pada masa ini.