- Iklan -
Berita

Anwar bekerja untuk bank atau rakyat? soal Mahathir

Ini susulan kenyataan Anwar sebelum ini yang menyindir Tengku Zafrul apabila berlaku kenaikan OPR.

Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Cara kerajaan menangani prestasi ringgit ketika ini tidak memberi keyakinan sama sekali apabila jawapan yang diberikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak sama dengan kenyataan yang dibuat sebelum beliau memegang jawatan itu, kata Dr Mahathir Mohamad.

Dalam kenyataan hari ini, bekas perdana menteri itu turut mempersoalkan pendirian Anwar sama ada beliau "menyebelahi" bank atau bersama rakyat memandangkan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini menaikkan Kadar Dasar Semalam (OPR) kepada 3% pada Mei lalu.

Bekas ahli Parlimen Langkawi mempersoalkan perkara itu sambil mengingatkan tindakan Anwar sebelum ini yang menyindir Tengku Zafrul Aziz ketika memegang jawatan menteri kewangan apabila OPR dinaikkan pada pentadbiran terdahulu.

"Jadi Anwar bekerja untuk bank atau rakyat sekarang ini?," soal Mahathir dalam kenyataan hari ini.

Pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam, Anwar yang juga ahli Parlimen Tambun menjelaskan bahawa keputusan BNM menaikkan OPR akan membantu mengukuhkan nilai mata wang tempatan itu.

Bagaimanapun, Mahathir berkata kenyataan yang mengatakan mata wang Singapura mengukuh disebabkan kenaikan OPR adalah tidak tepat kerana republik itu menggunakan dasar Kadar Purata Semalam Singapura (Sora).

Jelasnya, pendekatan Sora Singapura dan OPR yang digunakan di Malaysia adalah berbeza.

"Ada pihak telah pertikai kenyataan Anwar kerana Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) tidak ada dasar OPR sejak 1980-an lagi.

"Seingat saya memang Singapura tidak ada OPR. Ia ada Sora. Pendekatan Sora Singapura dan OPR Malaysia berbeza," tambahnya.

Tambah Mahathir, penyelidikan beliau termasuk menerusi ChatGPT yang menjadi trend pada masa ini menunjukkan perbandingan dasar monetari itu bukanlah satu perbandingan yang sama.

"Sama ada jawapan Anwar boleh dianggap menipu atau mengelirukan Dewan Rakyat terserah kepada ahli-ahli Parlimen menentukan,” katanya.