- Iklan -
Berita

‘Presiden AS, Rusia pun tak pernah tuding jari pada saya’, kata Mahathir

Bekas perdana menteri itu mengulas satu babak dalam 'Anwar: The Untold Story' dan memberikan pandangannya mengenai kerajaan semasa pimpinan Anwar Ibrahim.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bercakap ketika wawancara eksklusif bersama MalaysiaNow.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bercakap ketika wawancara eksklusif bersama MalaysiaNow.

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad menegaskan tiada mana-mana individu mahupun pemimpin bertaraf dunia yang pernah menuding jari ke arah mukanya sepanjang beliau bergelar ahli politik seperti yang digambarkan dalam filem tentang Anwar Ibrahim.

Beliau mengulas satu babak dalam tayangan filem “Anwar: Untold Story” yang menunjukkan watak bekas timbalannya yang dilakonkan oleh Farid Kamil sedang bertengkar sambil menuding jari kepada Hasnul Rahmat yang dipercayai melakonkan wataknya di kemuncak konflik sebelum pemecatan Anwar pada September 1998.

Mahathir berkata beliau maklum mengenai pembikinan dan tayangan filem tersebut namun tidak berhasrat untuk pergi ke pawagam dan menontonnya.

Katanya, jika diminta untuk mengimbau kembali mengenai banyak perkara yang berlaku ketika konflik tersebut, beliau mungkin tidak boleh menyenaraikan semuanya kerana peristiwa itu sudah pun berlaku lama dahulu.

“Tetapi tak pernahlah sesiapa pun termasuk presiden negara-negara besar pun tak pernah buat macam itu kepada saya,” katanya sambil meniru gaya babak tersebut dalam satu wawancara eksklusif bersama MalaysiaNow.

“Sama ada presiden Amerika Syarikat (AS) atau Rusia ataupun presiden negara China, mereka ini tak pernah bersikap angkuh terhadap saya.”

Filem yang ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 18 Mei lalu menceritakan apa yang berlaku sebelum kejatuhan Anwar pada 1998, sewaktu beliau dipecat daripada Kabinet oleh perdana menteri ketika itu, Mahathir.

Walaupun penyokong kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) memberikan ulasan yang memberangsangkan terhadap filem itu, namun beberapa pengkritik menyifatkannya sebagai propaganda Anwar menjelang pilihan raya di enam negeri tahun ini.

Prestasi Anwar sebagai PM

Dalam pada itu, Mahathir turut mengulas pandangannya terhadap prestasi bekas timbalannya itu sejak menjawat jawatan perdana menteri, November tahun lalu selepas menyaksikan “Parlimen tergantung” disebabkan tiada pihak yang mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Menurutnya, Anwar sebagai perdana menteri bukanlah yang dipilih oleh rakyat kerana mendapat undi yang terbanyak selain menyaksikan beliau juga tidak mendapat sokongan daripada golongan majoriti iaitu orang Melayu.

“Bukan terbanyak bagi partinya, partinya adalah Keadilan. Terbanyak dalam parti gabungan PH adalah DAP.”

Atas sebab itu, kata Mahathir, daripada segi dukungan rakyat beliau mendapati Anwar tidak begitu disokong dan disanjung sebagai seorang perdana menteri.

Bagaimanapun, beliau berkata dirinya tetap menggunakan pendekatan menilai prestasi dan kualiti pentadbiran Anwar mengikut tempoh masa yang sesuai bagi melihat kelakuan dan cara-cara yang digunakan untuk mentadbir negara.

Sepanjang tempoh itu, katanya, beliau mengambil keputusan untuk tidak membuat teguran sama sekali namun sejak kebelakangan ini beliau dapati Anwar gemar membuat kenyataan bahkan hampir setiap hari menyebut serta menjanjikan tentang perkara yang baik-baik sahaja.

“Tetapi tak boleh dilakukan. Umpamanya, kita tahu kerajaan tak ada duit cukup kerana hutang besar kena bayar faedah sahaja dan lebih dari RM1 bilion setahun.

“Dia pula janji nak bagi gaji lebih, nak bagi duit percuma kepada orang itu orang ini. Macam-macam janji tapi duit tak ada.”

Dengan itu, Mahathir menegaskan prestasi Anwar sejak menjawat jawatan tertinggi dalam kerajaan pusat sebagai kerajaan yang tidak menunaikan janji tetapi hanya pandai bercakap semata-mata.

Katanya, beliau sudah mendiamkan diri sepanjang tempoh enam bulan pentadbiran kerajaan campuran bagi memberi peluang Anwar menunjukkan kebolehan dirinya memimpin negara.

Tetapi, ketika usia perkhidmatannya belum mencapai tempoh itu pun Mahathir merasakan Anwar tidak berupaya menunjukkan prestasi yang baik kepada hala tuju dan pembangunan Malaysia.

Ini termasuklah beliau tidak pernah dapat dibuktikan boleh menyelesaikan masalah seperti pandemik Covid-19, perubahan iklim, kemerosotan nilai ringgit, ekonomi bahkan juga situasi politik semasa.

“Dia tak nampak ada kebolehan untuk meredakan keadaan politik dalam negara.

“Dia punya cara pentadbiran adalah membuat kenyataan iaitu ‘Kerajaan Madani’. Semua itu cakap sahaja, buat tak boleh.

“Dia pakai baju Melayu, itu yang diutamakan bukan melaksanakan projek ataupun dasar yang boleh mengatasi masalah yang dihadapi negara.”