- Iklan -
Berita

Tuduh PN terima dana judi satu lagi pembohongan Anwar, kata Bersatu

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata tindakan telah diambil untuk membatalkan tuduhan yang dikenakan terhadap Muhyiddin Yassin.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin. Gambar: Bernama
Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin. Gambar: Bernama

Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin menyifatkan dakwaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menuduh Perikatan Nasional (PN) menerima dana daripada syarikat perjudian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai satu lagi siri pembohongan.

Justeru, Hamzah menegaskan tindakan undang-undang telah diambil untuk memfailkan permohonan bagi membatalkan semua pertuduhan yang dikenakan terhadap Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

Mengulas jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said semalam bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dapat mengesahkan dakwaan Anwar itu, Hamzah berkata ini membuktikan tuduhan berkenaan adalah "rekaan dan pembohongan semata-mata".

“Sama sebagaimana beliau tanpa rasa bersalah membohongi rakyat dengan pelbagai janji yang tidak ditunaikan seperti janji turun harga minyak, janji selesaikan kos sara hidup, janji menentang nepotisme, dan janji perangi rasuah tetapi melantik timbalan perdana menteri yang terbukti terdapat prima facie dan sedang membela diri terhadap 47 pertuduhan di mahkamah,” tambahnya, merujuk kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang memainkan peranan penting dalam mengumpulkan sokongan partinya terhadap Anwar sebagai perdana menteri.

“Bagaimanapun, SPRM mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu ini. 

“Justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu ini,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin menuntut permohonan maaf daripada Anwar dan Zahid, dan menegaskan gabungan itu akan berbincang dengan pasukan peguam mereka mengenai tindakan seterusnya. 

“Pertuduhan-pertuduhan predikat adalah cacat dan salah kerana tiada kesalahan seperti yang dipertuduhkan,” kata Hamzah.

Parti komponen PN, PAS juga menggesa Anwar memohon maaf kerana menyebarkan tuduhan palsu.