- Iklan -
Berita

Singapura gantung banduan Melayu terlibat saman diskriminasi kaum

Muhammad Faizal Mohd Shariff adalah yang kedua dihukum mati tahun ini selepas Tangaraju Suppiah, yang mendapat perhatian antarabangsa.

Our Regional Correspondent
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail menunjukkan sebuah van jenazah memasuki Penjara Changi Singapura. Kerajaan Singapura sering menyebut undang-undangnya yang keras termasuk hukuman mati sebagai langkah berkesan terhadap pengawalan jenayah dadah. Gambar: AFP
Gambar fail menunjukkan sebuah van jenazah memasuki Penjara Changi Singapura. Kerajaan Singapura sering menyebut undang-undangnya yang keras termasuk hukuman mati sebagai langkah berkesan terhadap pengawalan jenayah dadah. Gambar: AFP

Singapura dipercayai menjalankan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang lagi banduan akhir yang disabitkan kesalahan memiliki ganja, kira-kira tiga minggu selepas republik itu melaksanakan hukuman gantung terhadap Tangaraju Suppiah atas kesalahan sama meskipun terdapat bantahan di peringkat antarabangsa. 

Muhammad Faizal Mohd Shariff, 36, adalah salah seorang daripada 17 banduan akhir kaum Melayu yang memfailkan saman menuduh kerajaan Singapura mengamalkan diskriminasi kaum dalam pendakwaan dan hukuman mati terhadap mereka.

Saman itu digugurkan tahun lepas dan peguam M Ravi dikenakan denda yang berat selepas beliau didakwa mengganggu proses perundangan dan melemparkan tuduhan tidak terasas ke atas peguam negara.

"Ini adalah satu lagi contoh hukuman mati yang dikenakan secara tidak adil terhadap kaum minoriti yang membentuk segmen masyarakat kurang bernasib baik yang telah diketengahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru-baru ini sewaktu mengecam pelaksanaan terhadap Tangaraju baru-baru ini," kata Ravi. 

Difahamkan, Faizal, yang ditahan pada 2016 dengan memiliki 1.6kg ganja, dihukum gantung awal pagi tadi, seperti amalan yang dilaksanakan sebelum ini. 

Awal semalam, hakim Mahkamah Rayuan menolak permohonan untuk kesnya disemak semula.

"Amat membimbangkan bahawa 64.9% daripada banduan hukuman mati adalah daripada kaum Melayu," tambah Ravi, yang dikenakan penggantungan lima tahun kerana mengkritik cara Singapura mendakwa pesalah berkaitan dadah.

Kaum Melayu mewakili hanya 13% daripada jumlah penduduk republik itu.

"Malah terdapat perbezaan ketara antara peratusan orang Melayu yang dijatuhi hukuman mati kerana kesalahan dadah, dan peratusan orang Melayu di penjara bagi semua kesalahan (kira-kira 55%) atau peratusan orang Melayu yang ditangkap kerana mengambil dadah (49.3%)." 

Ravi mengulangi gesaannya supaya undang-undang berkaitan dadah di Singapura dikaji semula, termasuk meminta pihak berkuasa meneliti peratusan tidak seimbang kaum Melayu yang dijatuhkan hukuman mati. 

"Semua hukuman mati mesti ditangguhkan buat masa ini," katanya. 

Tahun lepas, dua daripada 17 plaintif saman tersebut dijatuhkan hukuman gantung, termasuk Nazeri Lajim, seorang warga Singapura berusia 64 tahun yang merupakan penagih dadah sejak berusia 14 tahun di mana Nazeri kekal mengatakan dadah yang ditemui bersamanya adalah untuk kegunaan peribadi sehingga pelaksanaan hukumannya.

Bulan lalu, kerajaan Singapura dikritik hebat berhubung pelaksanaan hukuman mati terhadap Tangaraju, 46, yang disabitkan pada 2017 kerana "bersubahat dalam konspirasi mengedar" 1,017.9g ganja.

Kes itu mendapat perhatian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kumpulan hak asasi manusia serta taikun penerbangan Britain Richard Branson, yang sering mengkritik hukuman mati dilaksanakan Singapura berhubung aktiviti pengedaran dadah.

Beliau menegaskan bagaimana raja dadah yang mengupah keldai yang sebahagian besarnya terdiri daripada keluarga miskin terlepas daripada hukuman.

Pengkritik telah bercakap tentang iklim ketakutan dalam perundangan Singapura tentang mewakili banduan hukuman mati, selepas beberapa peguam lantang termasuk Ravi telah dihukum atau digantung lesen guamannya kerana mengambil kes melibatkan banduan akhir. 

Kerajaan Singapura pimpinan PAP, yang telah memerintah republik itu sejak keluar dari Malaysia, telah menolak kritikan terhadap hukuman matinya, dengan mengatakan ia berkesan dalam mengawal ancaman dadah.