- Iklan -
Berita

Sistem subsidi diesel diteruskan, ditambah baik, kata PM

Anwar Ibrahim berkata sistem subsidi diesel negara harus diperbaiki berikutan tanggungan subsidi negara melonjak kepada RM13 bilion pada tahun lepas.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Tindakan Ekonomi Negara di bangunan Perdana Putra hari ini. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Tindakan Ekonomi Negara di bangunan Perdana Putra hari ini. Gambar: Bernama

Sistem subsidi diesel sedia ada diteruskan dan ditambah baik dengan memastikan kenderaan yang mendapatkan bekalan diesel dari stesen minyak atau tangki skid dilengkapi dengan sistem 'fleet card' untuk memantau penggunaan diesel dan mengelakkan ketirisan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di Putrajaya hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sistem subsidi diesel negara harus diperbaiki berikutan tanggungan subsidi negara melonjak kepada RM13 bilion pada tahun lepas.

Menurutnya, semakan menunjukkan penggunaan diesel melonjak 37.7% iaitu 6.1 bilion liter pada  2019 kepada 8.4 bilion liter pada 2022, sedangkan jumlah kenderaan berdaftar yang menggunakan diesel hanya meningkat 2.4 peratus iaitu dari 2.08 juta pada 2019 ke 2.13 juta pada 2022.

“Jadi ada masalah tentang salah guna, penyeludupan dan ketirisan. Ini disebutkan ketirisan RM10 billion.

“Pemberian diesel subsidi itu diteruskan tetapi mesti melalui fleet card. Dengan cara ini kita dapat kesan siapa perlu boleh pakai, tapi jangan ambil diesel dan jual kepada kilang-kilang seperti mana berlaku sekarang," kata beliau. 

Beliau berkata kerajaan sedang memperincikan jenis-jenis kenderaan yang akan menikmati subsidi diesel.

“Kita sedang perinci kenderaan mana diperlukan dan sebagainya tetapi yang jelas subsidi diesel tidak dinaikkan.

“Cuma kita nak tentukan yang berhak akan peroleh diesel subsidi. Kita tidak mahu, wang cukai dibayar untuk bantu rakyat tetapi diguna kartel-kartel seperti kartel-kartel minyak masak, digunakan untuk kepentingan segelintir kecil,” kata beliau.

Anwar berkata kerajaan telah melaksanakan program subsidi bersasar secara berperingkat bermula Januari 2023 apabila kerajaan tidak lagi memberikan subsidi penuh tarif elektrik kepada syarikat besar yang menggunakan tenaga elektrik pada tahap yang tinggi. 

Beliau berkata pengurusan subsidi yang lebih bersasar dan mampan menjadi keutamaan dalam memastikan perbelanjaan kerajaan disalurkan kepada keperluan pembangunan yang dapat memberi nilai tambah lebih tinggi kepada ekonomi negara. 

Sementara itu, Anwar berkata MTEN bersetuju Pangkalan Data Utama (Padu) dibangunkan bertujuan mengabungkan sebanyak mungkin maklumat sosioekonomi bagi setiap isi rumah untuk membantu kerajaan mengubal dasar dan menyasarkan subsidi.

Beliau berkata Padu akan membantu kerajaan memastikan sebarang program subsidi dilaksanakan dengan lebih teratur untuk mengelakkan sebarang keciciran dalam kalangan penerima isi rumah yang layak.

“Kekerapan dan ketepatan data adalah penting untuk membantu penggubalan dasar kerajaan yang dapat memenuhi keperluan dan keyakinan rakyat. 

“Isu berkenaan sekuriti data juga akan ditangani dan diutamakan, serta penyelarasan lebih baik untuk mengurangkan aspek pertindihan,” katanya dan menambah bahawa MTEN telah diarahkan untuk melihat keperluan penggubalan akta khusus untuk membolehkan inisiatif perkongsian data itu dapat diperkukuh.