- Iklan -
Berita

Semua parti tidak akan layan cubaan sabotaj kerajaan, kata PM

Beliau berkata konvensyen kerajaan baru-baru ini adalah bukti bahawa pentadbiran itu kukuh dan stabil.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini berkata semua parti politik dalam kerajaan campuran telah menyatakan komitmen tidak akan melayan sebarang cubaan untuk mensabotaj kerajaan pimpinannya.

Beliau berkata sokongan tersebut ditunjukkan ketua-ketua parti Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada konvensyen kerajaan yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam.

“Perhimpunan (Konvensyen Perpaduan) tersebut dengan pengukuhan jelas bahawa sekurangnya untuk bertahun akan datang tidak ada layanan terhadap percubaan untuk sabotaj yang ada," katanya  pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

“Saya lebih yakin kerana sepertimana saya lihat Konvensyen Kerajaan Perpaduan semalam telah menetapkan satu bentuk kerajaan kukuh dan (walaupun) pada peringkat awal macam-macam percubaan akuan berkanun (SD) dan sebagainya sampai kepada Yang di-Pertuan Agong dan sultan-sultan,” tambahnya.

Anwar berkata sejak beberapa bulan yang lepas, perjalanan kerajaan sekarang juga lebih kemas dan beberapa program yang dilaksanakan telah membantu untuk memantapkan negara. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kestabilan politik sedia ada dalam negara telah menyumbang kepada beberapa prestasi yang baik antaranya ekonomi negara mencatat pertumbuhan lebih baik daripada jangkaan sebanyak 5.6% pada suku pertama 2023.

“Kalau lihat angka-angka Jabatan Perangkaan menunjukkan suku tahun pertama itu jauh lebih baik daripada yang diunjurkan November dan Disember tahun lepas… inflasi berkurang, jumlah penganggur berkurang dan pelaburan juga bertambah,” katanya.

Jumaat lepas, Anwar berkata kerajaan yakin dapat mencapai unjuran pertumbuhan 4.0% hingga 5.0% bagi tahun 2023 di sebalik cabaran dan ketidaktentuan ekonomi global, disokong oleh asas ekonomi Malaysia yang kukuh serta pelaksanaan langkah Belanjawan 2023.

Beliau berkata pertambahan pelaburan di Malaysia memerlukan semua pihak di peringkat pusat  dan negeri untuk bekerja serentak bagi membolehkan proses pelaburan lancar.

“Pihak (negeri), perbandaran harus bekerja sederap supaya tahap kelulusan itu dapat dipercepatkan. Ini akan memastikan kita dapat pertahankan kadar pertumbuhan yang lebih meyakinkan dan serlahkan komitmen dan kesungguhan,” katanya.

Sebelum ini, Anwar berkata beberapa syarikat gergasi China bersetuju melabur di Malaysia antaranya syarikat Zhejiang Geely Holding Group (Geely) dan Rongsheng Petrochemical Co.

Projek pelaburan Geely adalah di Pahang dan Tanjung Malim, Perak manakala Rongsheng di Pengerang, Johor dan Terengganu.