- Iklan -
Berita

Azam dilantik semula kerana tugas memuaskan, kata Anwar

Anwar Ibrahim berkata beliau memberikan kelonggaran sepenuhnya kepada Azam Baki untuk menjalankan tugas beliau dengan sebaiknya.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata perkhidmatan Azam Baki sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilanjutkan kerana beliau menjalankan tugasnya dengan memuaskan.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di Putrajaya hari ini, Anwar berkata beliau memberikan kelonggaran sepenuhnya kepada Azam serta Peguam Negara Idrus Harun untuk menjalankan tugas mereka dengan sebaiknya.

"Setakat yang saya lihat mereka jalankan tugas dengan memuaskan. Dia (Azam) mengambil tindakan tanpa memilih puak dan parti.

"Belum pernah dalam sejarah umpamanya pejabat-pejabat menteri  juga digeledah dan dikenal pasti beberapa kompromi dan terus tindakan diambil sementara siasatan dijalankan," kata beliau ketika mengulas pelantikan semula Azam sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

Pada 10 Mei lepas, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali menerusi satu kenyataan mengumumkan pelantikan semula Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa 12 Mei.

Mohd Zuki berkata pelantikan Azam telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selaras subseksyen 5(1) dan (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694].

Azam dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Beebi Koya, yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.