- Iklan -
Berita

Guna dividen KWSP bayar faedah pinjaman tindakan kurang bijak, kata pakar ekonomi

Mohd Afzanizam Abdul Rashid juga berkata pengeluaran KWSP selanjutnya boleh menyebabkan jumlah dividen yang lebih rendah untuk pencarum secara amnya.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang pakar ekonomi berkata sebarang langkah untuk membenarkan pengeluaran berikutnya daripada simpanan KWSP boleh menyebabkan jumlah dividen yang lebih rendah untuk pencarum secara amnya.
Seorang pakar ekonomi berkata sebarang langkah untuk membenarkan pengeluaran berikutnya daripada simpanan KWSP boleh menyebabkan jumlah dividen yang lebih rendah untuk pencarum secara amnya.

Menggunakan pulangan dividen yang ditawarkan Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWSP) untuk membayar faedah pinjaman peribadi daripada bank adalah satu tindakan yang kurang bijak, kata pakar ekonomi Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia itu berkata, ini kerana pulangan dividen tidak bersifat tetap dan akan berubah mengikut iklim pelaburan manakala pinjaman atau kadar pembiayaan boleh dikatakan sebagai hampir tetap dan mudah diketahui peminjam.

"Dalam kes FSA 2 (Fasiliti Sokongan Akaun 2) ini kita sudah tahu (faedah) antara 4% hingga 5%," kata Afzanizam kepada MalaysiaNow.

"Itu sudah ditentukan, jadi, sama ada dividen itu boleh mengatasi kadar faedah yang dicaj oleh pihak bank itu kita susah nak cakap.

"Kita pun tidak pasti berapakah kadar faedah dividen yang bakal diumumkan pihak KWSP, cuma dalam Akta KWSP ada menyebut minimum dividen adalah 2.5%. Itu sahaja."

Sebelum ini, kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim mengekalkan pendirian untuk tidak membenarkan pengeluaran caruman KWSP, sebaliknya memperkenalkan cadangan mencagar wang persaraan itu untuk membuat pinjaman bank. 

Cadangan itu bagaimanapun menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat.

Malah bekas menteri kewangan, Johari Abdul Ghani turut tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu meluahkan kebimbangan apabila peminjam berkemungkinan akan lagi terbeban disebabkan bayaran faedah daripada pinjaman peribadi yang dibuat.

Susulan itu, muncul perdebatan di media sosial yang menyatakan bahawa bayaran dividen KWSP boleh digunakan untuk membayar faedah pinjaman bank, kenyataan yang boleh dianggap sebagai mempertahankan cadangan diperkenalkan kerajaan.

Pada 2022, KWSP mengumumkan kadar sebanyak 5.35% untuk Simpanan Konvensional manakala 4.75% bagi Simpanan Shariah.

Ini menunjukkan penurunan dividen pada 2021 yang mana Simpanan Konvensional direkodkan pada kadar 6.10% manakala 5.65% bagi kadar Simpanan Shariah.

Malah, kadar dividen bagi Simpanan Shariah yang diumumkan bagi tahun 2022 merupakan yang terendah sejak skim itu mula diperkenalkan pada 2017.

"Justeru, kalau nak nyatakan bahawa dividen boleh atasi faedah pinjaman adalah tanggapan kurang bijak," tambah Afzanizam.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan keputusan untuk terus membenarkan pengeluaran simpanan KWSP berpotensi menawarkan jumlah dividen yang lebih rendah kepada semua pencarum.

Katanya, situasi ini juga mampu mendatangkan kebimbangan kepada pencarum yang mempunyai simpanan tinggi dalam KWSP dan akan mendorong mereka beralih melabur ke platform pelaburan yang dipercayai mampu menawarkan pulangan yang lebih tinggi dan stabil.

"Mungkin terdapat risiko yang mana KWSP perlu melepaskan pelaburan yang sepatutnya disimpan untuk tempoh lama bagi merealisasikan pulangan lebih baik, tetapi disebabkan terdapat permintaan pengeluaran, mereka perlu menjual aset pra matang dan gagal merealisasikan pulangan besar.

"Ini boleh dianggap menggugat pulangan yang mana ia diterjemahkan kepada pulangan dividen lebih rendah," kata beliau.

Setakat ini, KWSP melaksanakan empat fasa pengeluaran menerusi program i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan pengeluaran khas, menyaksikan sebanyak RM145 bilion dikeluarkan oleh 8.1 juta pencarum.

Keputusan itu menerima bantahan daripada kebanyakan ahli ekonomi, isu ini terus menjadi perdebatan hangat di media sosial, manakala beberapa pemimpin politik menjadikan ia sebagai senjata untuk menarik sokongan rakyat.

Mengulas lanjut, Afzanizam menjelaskan, pengeluaran yang dilakukan segelintir pencarum juga berupaya menjejaskan pulangan dividen kepada semua pencarum.

"Pelaburan tersebut bersifat kolektif, maksudnya, apabila KWSP terima caruman, ia akan dilaburkan secara pukal dan bukan diasingkan mengikut kategori sama ada B40, M40 dan T20.

"Jadi, apabila terdapat satu kumpulan yang buat keputusan untuk keluarkan caruman secara banyak sebab dapat kebenaran, maka ini akan ganggu proses pelaburan yang juga akan menjejaskan potensi pulangan lebih tinggi," tambah beliau.