- Iklan -
Berita

Gadis tanpa kerakyatan impikan sambut Aidilfitri secara meriah

Nurul Akashah tidak pernah menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama sanak-saudara secara meriah.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Nurul Akashah merupakan anak yatim piatu berketurunan Melayu-Cina yang bergelut untuk terus hidup kerana tidak memiliki taraf kewarganegaraan.
Nurul Akashah merupakan anak yatim piatu berketurunan Melayu-Cina yang bergelut untuk terus hidup kerana tidak memiliki taraf kewarganegaraan.

Menjelang akhir Ramadan, ramai dalam kalangan umat Islam di Malaysia pastinya sibuk membuat persiapan sewajarnya untuk menyambut ketibaan Syawal.

Persiapan termasuk mencari baju raya, menyediakan pelbagai juadah seperti rendang dan kuih-muih manakala anak-anak pula teruja untuk pulang ke kampung berjumpa dengan sanak-saudara yang menetap jauh.

Namun, pengalaman ini bukanlah sesuatu yang pernah dirasai gadis tanpa kerakyatan, Nurul Akashah apabila sepanjang hidupnya tidak betul-betul dapat merasai nikmat Hari Raya Aidilfitri atau menyambutnya secara meriah.

Menurut Akashah atau lebih gemar dikenali sebagai Yuyu, apabila tiba penghujung Ramadan, keluarganya tidak pernah "teruja" untuk membuat persiapan bagi menyambut Aidilfitri, malah menganggap hari istimewa bagi umat Islam itu sebagai hari-hari biasa.

"Kami hanya duduk di rumah, tidak menziarahi sesiapa, tidak membuat kuih atau rendah, mahupun beli baju raya, malah solat sunat Aidilfitri pun tak pergi," katanya kepada MalaysiaNow. 

"Sekarang, saya nak sambut Aidilfitri pun tak tahu bagaimana. Saya tak tahu apa yang perlu dibuat."

Menceritakan kisah hidupnya, Yuyu mengakui dirinya berasal daripada keluarga yang bermasalah dengan hubungan antara ibu bapanya tidak begitu baik disebabkan sifat baran bapanya.

Ini menyebabkan keluarga itu sering hidup dalam ketakutan kerana bimbang dipukul oleh bapanya yang merupakan seorang bekas anggota polis.

"Ketika saya berusia lapan tahun, ibu melarikan diri kerana tidak tahan dipukul. Sejak itu, saya tidak pernah mendengar khabar berita mengenainya.

"Kami empat beradik pula terus menetap dengan ayah sehingga 2019 apabila dia meninggal dunia disebabkan sakit jantung," kata Yuyu sambil mengakui masih berharap dapat berjumpa kembali dengan ibunya.

Kini, Yuyu menetap bersama rakannya di Sungai Besi dengan azam untuk mendapatkan kerakyatan agar dia boleh hidup secara normal seperti kebanyakan rakyat Malaysia lain.

Menurutnya, usaha untuk mendapatkan kerakyatannya sudah giat dilaksanakan sejak 2015 ketika dia berusia 17 tahun, namun disebabkan berusaha seorang diri tanpa panduan yang jelas, usahanya terus gagal sehingga ke hari ini.

Cubaan terakhirnya ialah pada Mac lalu apabila dia mencuba nasib dengan menghantar surat kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dengan harapan permohonan itu akan diteliti secara peribadi oleh beliau.

"Saya terpaksa buat semua ini sendiri kerana ayah memang tidak ambil peduli.

"Pada satu tahap, saya terpaksa merujuk Google dan cari sendiri maklumat atau prosedur untuk mendapatkan kerakyatan," tambah Yuyu.

Menceritakan lanjut, Yuyu berkata, disebabkan tidak mempunyai kerakyatan, dia tidak mendapat akses kemudahan seperti yang diterima rakyat Malaysia lain termasuk pendidikan, kesihatan dan sebagainya.

"Saya tidak ada pendidikan, saya tidak boleh cari kerja tetap dan saya perlu membayar kos perubatan tinggi jika pergi ke klinik atau hospital kerajaan.

"Saya harap satu hari nanti, saya akan diiktiraf sebagai rakyat Malaysia agar saya boleh hidup normal di negara saya sendiri," katanya sebak.

Menurut Yuyu, dua daripada adiknya sudah berjaya mendapatkan kerakyatan selepas diambil sebagai anak angkat, manakala seorang lagi adik lelakinya mempunyai status sama dengan dia.