- Iklan -
Berita

PM umum penambahbaikan prosedur pusat sehenti

Ini termasuk pengurangan tempoh kelulusan daripada 42 hari ke 21 hari.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Prosedur Pusat Setempat (OSC) 3.0 Plus ditambah baik dengan tempoh kelulusan dikurangkan kepada 21 hari, manakala agensi wajib dirujuk untuk kelulusan pula dikurangkan kepada lima agensi, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata perkara itu antara penambahbaikan dipersetujui oleh Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-41 yang diadakan semalam antara pihak-pihak berkepentingan termasuk Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri.

Sebelum ini, tempoh kelulusan OSC 3.0 Plus, iaitu satu sistem penyampaian prosedur pemajuan yang antara lain digunakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menerima permohonan pemajuan adalah 42 hari, manakala agensi wajib dirujuk adalah 19 agensi.

“Antara keputusan yang dipersetujui termasuk keperluan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan PBT untuk mempercepatkan tempoh kelulusan pembangunan, sekali gus memudahkan urusan perniagaan (ease of doing business),” katanya menerusi catatan di Facebook, hari ini.

Beliau berkata usaha mempercepatkan tempoh kelulusan pembangunan itu secara tidak langsung diyakini mampu menambah baik persekitaran pelaburan selain meningkatkan daya saing negara. 

Selain itu, Anwar berkata mesyuarat turut membincangkan cadangan pengukuhan sektor pertanian, terutama keperluan menetapkan keluasan guna tanah bagi tujuan pengeluaran pertanian dan sumber makanan negara.

“Dalam hal ini, penekanan harus diberikan kepada peningkatan produktiviti pertanian,” katanya.

Beliau berkata MPFN juga berpandangan aspek kawal selia pengurusan dan pembangunan ladang penternakan perlu terus diperkasakan menerusi pemakaian Garis Panduan Perancangan Ladang Penternakan Ayam.

Sementara itu, cakna dengan isu banjir kilat yang sering meresahkan rakyat, MPFN bersetuju bahawa Pemakaian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) dalam Pembangunan Tanah perlu diaplikasikan sebagai salah satu solusi dalam menangani isu banjir kilat.

Anwar berkata MPFN akan terus memastikan perancangan pembangunan bandar bergerak kepada Perbandaran Madani untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan mewujudkan persekitaran yang berdaya huni.

“Kerajaan kekal komited meneruskan kerjasama dan penyelarasan pembangunan di antara Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri demi mencapai agenda membangun negara Madani. Insya-Allah,” katanya.