- Iklan -
Berita

Pemimpin PKR beri amaran PH akan tumbang jika Najib, Zahid bebas

Hassan Karim berkata kuasa peguam negara untuk menentukan nasib Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi adalah 'amat membimbangkan'.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: AFP
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: AFP

Ahli Parlimen PKR yang lantang bersuara Hassan Karim sekali lagi mengeluarkan kritikan pedas terhadap presiden partinya Anwar Ibrahim, dengan memberi amaran sebarang tindakan menggugurkan tuduhan jenayah melibatkan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi serta mendapatkan pengampunan diraja untuk Najib Razak boleh membawa kepada keruntuhan gabungan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, gabungan politik PH dan PKR akan ditolak oleh rakyat dalam enam pilihan raya negeri akan datang dan diikuti pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurutnya, PH dan PKR akan tumbang bersama Barisan Nasional (BN) dan Umno jika Najib dan Zahid bebas dan lepas begitu mudah.

“Jika itu berlaku, jangan kata saya tak ingatkan,” kata ahli Parlimen Pasir Gudang itu.

Kritikan itu hadir ketika Anwar meletakkan dirinya berada di tengah-tengah usaha terbaru Umno untuk mempersembahkan rayuan kepada Agong bagi mendapatkan pengampunan diraja yang akan menyebabkan Najib dibebaskan dari penjara. 

Najib sedang menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang selepas disabitkan kesalahan dalam kes SRC International. 

Minggu lalu, Najib gagal dalam permohonan semakan kehakiman untuk mengenepikan sabitan itu, menyebabkan kepemimpinan Umno mengumumkan mereka akan menghadap Agong untuk memberikan pengampunan diraja kepadanya. 

Anwar sebelum ini menyatakan beliau adalah salah seorang daripada ahli Lembaga Pengampunan, badan yang ditugaskan untuk menasihati Agong mengenai permohonan pengampunan daripada orang yang disabitkan kesalahan. 

Pemerhati berkata, situasi itu menimbulkan dilema kepada Anwar, yang mana kerajaannya dibentuk atas usaha Zahid dengan memberikan sokongan secara “en bloc” daripada Ahli Parlimen BN kepada pemimpin PKR itu. 

PH begitu tegas dalam kempen menentang Najib berhubung skandal 1MDB, dan sebarang kegagalan pemimpin gabungan itu untuk bersuara menentang tindakan mengampunkan Najib akan menjadi tamparan hebat kepada imej Anwar.

Tawaran pengampunan itu mencetuskan spekulasi pemimpin Umno cuba menebus sokongan mereka kepada Anwar dengan membuat tuntutan.

Ini didorong dengan penangguhan perbicaraan rasuah Zahid hari ini, dengan peguamnya memberitahu mahkamah bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan "siasatan lanjut" terhadap bukti baru daripada pihak pembelaan yang memohon supaya pertuduhan digugurkan.

Sementara itu, timbalan pendakwa raya mengumumkan kepada mahkamah mereka menerima arahan daripada peguam negara untuk tidak membantah penangguhan itu. 

Bulan lalu, Zahid, yang berdepan pelbagai pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh juta ringgit, berjaya mendapatkan semula pasport antarabangsanya secara kekal sekali gus menarik balik larangan perjalanan yang dikenakan ke atasnya. 

Hassan berkata perkembangan terkini kes Zahid adalah "amat menyeramkan dan membimbangkan".

Beliau berkata ini kerana peguam negara hadir dalam kedua-dua mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi mendengar kes Najib, serta memutuskan sama ada untuk menggugurkan pertuduhan terhadap Zahid.

Hassan berkata Peguam Negara diberikan kuasa yang luas, di mana Agong akan bertindak mengikut nasihatnya.

“Kuasa peguam negara untuk menggugurkan 47 pertuduhan ke atas Zahid Hamidi hampir mutlak di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” tambahnya.

Beliau berkata ia akan menjadi malapetaka bagi kerajaan pimpinan Anwar sekiranya Najib diberi pengampunan dan pertuduhan terhadap Zahid digugurkan.