Dilema Anwar: Antara liabiliti dan sekutu untuk kekal berkuasa
Penganalisis berkata presiden Umno itu sedang mengukuhkan kedudukannya ketika PH tiada pilihan jika mahu kekal berkuasa.
Terkini
Rentetan lantikan politik yang diumumkan di beberapa agensi kerajaan membabitkan orang kuat Ahmad Zahid Hamidi akan menimbulkan banyak persoalan mengenai komitmen Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap reformasi institusi, kata penganalisis.
Mereka berkata lantikan itu, yang menyaksikan badan berkaitan kerajaan seperti Risda, Mara dan Felcra diterajui ahli politik Umno, hanya menambahkan kebimbangan Zahid dan partinya akan menjadi liabiliti kepada Pakatan Harapan (PH) dan Anwar, yang sudah lama menggunakan "jenama reformasi” sewaktu kempennya mendapatkan jawatan tertinggi itu dalam tempoh dua dekad lalu.
Dalam tempoh sebulan lalu, Zahid mengumumkan pelantikan Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad sebagai pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), diikuti dengan lantikan Asyraf Wajdi Dusuki sebagai pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Ahmad Jazlan Yaakub dilantik semula pengerusi Felcra.
Malah, bekas menteri Hasan Malek, turut diumum sebagai ahli majlis Mara sebelum Zahid mengumumkan pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) terbaru iaitu bekas ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim bagi menggantikan Jamil Khir Baharom.
Pengumuman tersebut ditambah dengan beberapa lagi isu lain seperti pertukaran ketua menteri Melaka, cubaan menjatuhkan ketua menteri Sabah, serta membenarkan Zahid mendapatkan semula pasport antarabangsa meskipun berdepan 47 pertuduhan kes mahkamah dilihat mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat apabila ia menampakkan "perangai lama" Umno.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara Jeniri Amir, berkata beberapa siri lantikan politik yang diumumkan Zahid menjadi bukti kerajaan melanggar janji mereka untuk tidak melantik ahli politik memegang jawatan yang boleh dikaitkan dengan kerajaan.
Katanya, perkara ini juga boleh memberi kesan negatif terhadap agensi yang diterajui apabila pemimpin politik yang dilantik itu tidak mempunyai rekod cemerlang atau bukan dalam kalangan pilihan rakyat selepas tewas pada pilihan raya.
"Ini akan menjadi liabiliti dan beban kepada kerajaan.
“Pengerusi dan ahli lembaga perlu mempunyai kriteria tertentu seperti kelayakan, kemahiran, pengalaman, keupayaan dan integriti," katanya kepada MalaysiaNow.
"Sokongan politik tidak seharusnya menjadi faktor lantikan di mana-mana jabatan atau agensi kerajaan."
Pada masa sama, Jeniri turut mempersoalkan sama ada lantikan yang diumumkan Zahid itu mendapat persetujuan Anwar memandangkan lantikan seperti ini ditentang oleh presidem PKR itu ketika beliau menjadi ketua pembangkang sebelum ini.
Tambahnya, jika lantikan itu dilakukan tanpa pengetahuan Anwar, maka ini juga memberi gambaran bahawa Zahid mempunyai kuasa mutlak untuk melantik pemimpin politik di bawah kementeriannya.
"Jika itu berlaku, tidak harus ada kuasa mutlak bagi pihak pemimpin tertentu untuk melantik orang-orangnya yang boleh tambah beban dan menyukarkan kepimpinan tertinggi kerajaan Anwar sehingga mencetuskan kontroversi yang dipertikaikan orang ramai," tambah ahli akademik itu.
Sementara itu, Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia (USM) berpandangan bahawa Zahid tetap meneruskan lantikan politik tersebut kerana tahu bahawa penyokong tegar PH tidak akan beralih sokongan kepada Perikatan Nasional (PN), menyebabkan mereka terpaksa "akur" dengan keputusan berkenaan.
Katanya, lantikan itu juga dilihat sebagai usaha mengukuhkan kedudukan Zahid sebagai presiden Umno dan menarik sokongan ahlinya terhadap kerajaan Anwar bagi memastikan kestabilan.
"Mungkin sekarang ini strateginya ialah membiarkan Zahid mengukuhkan kedudukan dia dalam Umno dan diberi kebebasan untuk buat apa saja yang perlu termasuk membuat lantikan politik untuk raih sokongan ahlinya," katanya ketika dihubungi MalaysiaNow.
"Sokongan Umno masih penting bagi PH walaupun mereka boleh membentuk kerajaan tanpa sokongan parti itu.
"PH perlukan kedudukan selesa di Parlimen kerana pendirian blok Borneo tidak tetap dan boleh beralih ke PN pada bila-bila masa. Tanpa Umno, risiko kerajaan diterajui PH tumbang akan meningkat."
Menurut Azmil, satu-satunya cara untuk Anwar mengembalikan keyakinan rakyat pada masa ini ialah menyelesaikan isu kos sara hidup yang mana ia dianggap sebagai satu misi yang sangat sukar.
"Ini bukan mudah sebab isu seperti ini dipengaruhi pelbagai faktor," tambah beliau.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
Artikel Berkaitan
Paling Popular
Tiada artikel ditemui.
