- Iklan -
Berita

Di Sungai Siput, sekolah agama berusaha lahirkan pendakwah Orang Asli

Walaupun ramai yang tercicir, sekolah yang ditubuhkan oleh pihak berkuasa agama negeri itu melakukan sebaik mungkin untuk memberikan pendidikan terbaik kepada pelajarnya.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Kelihatan seorang tutor sedang mengajar salah seorang pelajar Orang Asli di Sekolah Menengah Agama Rakyat Orang Asli Nurul Hidayah di Sungai Siput, Perak pada 4 April.
Kelihatan seorang tutor sedang mengajar salah seorang pelajar Orang Asli di Sekolah Menengah Agama Rakyat Orang Asli Nurul Hidayah di Sungai Siput, Perak pada 4 April.

Bangunan dua blok itu tersergam di tengah-tengah laman yang dikelilingi alam hijau.

Di dalam sebuah dewan bersaiz sederhana besar, deretan pelajar sedang tekun memberikan perhatian kepada susuk tubuh seorang tenaga pengajar, Zakaria Nasirudin.

Dengan tertib mereka meniru gaya dan bacaan tajwid membaca al-Quran oleh Zakaria.

Bersempena Ramadan, para pelajar Sekolah Menengah Agama Rakyat Nurul Hidayah di Kampung Orang Asli Kenang, Sungai Siput, Perak memantapkan bacaan kitab suci al-Quran.

Seorang daripada kumpulan pelajar itu ialah remaja Orang Asli berketurunan Semai, Asjeneri Uda Asari.

Asjeneri sudah empat tahun menjadi pelajar di sekolah itu.

Kini berada di tingkatan empat, remaja lelaki itu perlu mempersiapkan diri untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan.

"Kami belajar mata pelajaran asas sama seperti sekolah lain tetapi ada tambahan subjek-subjek Islam. 

“Selepas solat maghrib, kami akan mengaji al-Quran," katanya kepada MalaysiaNow.

Asjeneri bercita-cita ingin memasuki bidang syariah di Universiti Malaya.

Justeru, dia sedang berusaha memantapkan bacaan kitab suci.

Pelajar dari etnik Orang Asli berdepan cabaran dalam mengejar tahap pembelajaran sekolah-sekolah lain.

"Kalau di sekolah biasa, susah sedikit hendak bersaing dengan bangsa-bangsa lain. Di sini lebih mudah," katanya.

Sekolah itu dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam Perak yang menumpukan pendidikan Islam khusus kepada etnik Orang Asli.

Menurut Pengetua Zulkifli Ahmad, sekolah itu ditubuhkan dengan harapan anak-anak Orang Asli dapat menjadi pendakwah Islam di kampung masing-masing.

"Ada lepasan sekolah yang berjaya menamatkan pengajian diploma di universiti tempatan, namun setakat ini masih belum ada yang berjaya menyambung pengajian ke luar negara," katanya.

Tambah Zulkifli, 70% pelajar di situ menetap di asrama yang disediakan.

Sekolah itu mempunyai 17 guru dan beberapa kakitangan sokongan. 

Semua pelajar menengah sekolah itu masih bertatih untuk membaca Iqra, iaitu kitab asas tajwid.

Zakaria, yang mengasaskan teknik bacaan al-Quran tersendiri dijemput untuk mendedahkan pelajar Orang Asli kepada teknik yang banyak diajarkan kepada golongan mualaf.

Sekolah yang diasaskan sejak 2014 itu mempunyai 150 murid-murid dengan purata dua kelas untuk setiap tingkatan.

Kira-kira 20 pelajar akan menduduki peperiksaan SPM setiap tahun.

Salah seorangnya ialah Noor Savisma Abdullah dari suku kaum Temiar. 

Katanya, dia selesa belajar di sekolah itu atas faktor bahasa.

"Sekolah ini ada cikgu dari Orang Asli.

“Kalau ada perkara yang kami tidak faham, cikgu boleh terangkan dalam bahasa kami," katanya yang menetap di asrama sekolah itu.

Rutin hariannya sama seperti asrama lain.

Selepas sekolah, dia akan menjalani sesi prep dan riadah pada sesi petang.

Pada malamnya, Noor Savisma akan berlatih mengaji.

"Saya mahu sambung belajar namun ini bergantung kepada keputusan SPM.

“Saya mahu masuk bidang elektronik di kolej komuniti," katanya.

Seperti di tempat lain, sekolah itu juga berdepan cabaran mengekalkan minat pelajar untuk menyambung pelajaran.

Kedua-dua Asjeneri dan Noor Savisma mempunyai rakan yang berhenti separuh jalan.

"Rakan-rakan yang berhenti kata susah untuk belajar, lebih baik cari kerja," tutur Asjeneri.

Sementara itu Zulkifli berkata ekoran itu, sekolah tersebut mahu lebih serius dalam meramaikan golongan pendakwah Orang Asli.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita cuba menjejaki lepasan sekolah. Kita memberi saranan berdasarkan keputusan peperiksaan mereka," katanya.

Menurut Zulkifli, pelajar Orang Asli tiada akses maklumat mengenai prospek pendidikan mereka, selain tiada tauladan dalam keluarga yang boleh dicontohi.

Itu sebabnya sekolah berkenaan kini mengadakan lawatan ke kampus institut pengajian tinggi untuk memberikan inspirasi kepada pelajar-pelajar.