- Iklan -
Berita

Kerajaan perlu jelaskan apa dimaksudkan dengan ‘3R’, kata peguam

Rafique Rashid berkata beberapa kenyataan yang mungkin dilihat termasuk dalam lingkungan 3R sebenarnya boleh menjadi sah.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Dua pelancong dari India berjalan di hadapan Masjid Negara ketika mengunjungi kawasan tarikan pelancong di Kuala Lumpur, 18 Mei 2022.
Dua pelancong dari India berjalan di hadapan Masjid Negara ketika mengunjungi kawasan tarikan pelancong di Kuala Lumpur, 18 Mei 2022.

Amaran dan peringatan keras daripada menteri-menteri kerajaan supaya rakyat tidak membuat kenyataan yang menyentuh isu 3R iaitu agama, raja dan kaum kini dipersoalkan apabila seorang peguam menjelaskan beberapa takrifan bersandarkan isu-isu tersebut adalah bertepatan dari segi undang-undang.

Peguam Rafique Rashid berkata, kenyataan seperti takrifan Malaysia sebagai negara Melayu dan bukan negara pelbagai kaum sangat konsisten dengan Perlembagaan menjadikannya tidak salah dari segi perundangan.

Katanya, bercakap dan membuat kenyataan mengenai agama dan kaum secara ilmiah pula dibenarkan dari sisi undang-undang.

"Selagi mana kita berhujah dan berdebat dengan sihat dan terbuka dan baik tanpa apa-apa keganasan, ianya adalah dibenarkan oleh undang-undang," katanya kepada MalaysiaNow.

Komen itu muncul selepas kenyataan bukan sahaja Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Menteri Kementerian Dalam Negeri Saifuddin Nasution yang kerap kali mengulang amaran yang sama mengenai topik 3R.

Paling terbaru, Ketua Polis Negara Razarurin Husain mengingatkan semua parti politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos depan agar tidak memainkan isu-isu sensitif khususnya isu 3R sepanjang tempoh berkempen.

Bagaimanapun, sehingga kini, kerajaan terutamanya Kementerian Komunikasi dan Digital dan Kementerian Dalam Negeri masih belum memberikan penjelasan kukuh atau takrifan tepat yang boleh menjadi indikasi bahawa seseorang itu melangkaui batas dalam bercakap tentang isu raja, kaum dan agama.

Mengulas lanjut, Rafique mengakui kenyataan-kenyataan membabitkan isu 3R akan sering kali dibangkitkan dan timbul menjelang musim pilihan raya.

Bagaimanapun, katanya, perkara paling penting dalam bercakap tentang 3R adalah perbezaan yang menunjukkan penyalahgunaan isu 3R demi kepentingan politik dan juga menyalahgunakan kenyataan-kenyataan sehingga menjadi “hate speech” menggunakan isu 3R yang sudah pun termaktub dalam perlembagaan. 

"Kenapa saya kata begitu? Oleh kerana, sekiranya seseorang menyatakan orang Melayu adalah golongan yang mempunyai hak keistimewaan bersama dengan orang-orang Bumiputera dan orang-orang asal, Sabah dan Sarawak seperti di dalam Perlembagaan Persekutuan maka ianya tidak salah.

"Kerana itu lah yang dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan."

Manakala berkenaan R yang kedua, iaitu “religion” atau agama, jika seseorang memberitahu bahawa Perlembagaan di Malaysia adalah bukan Perlembagaan yang sekular kerana mengiktiraf hak agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, maka ianya juga dibenarkan dari segi undang-undang.

Terakhir, katanya, mengenai “royalty” pula selalunya melibatkan kes hasutan, cacian dan makian tanpa sebab yang sudah semestinya akan dikira sebagai menghina institusi diraja.

"Tetapi sekiranya seseorang itu menceritakan sejarah institusi raja-raja dan kita pun tahu dan sedia maklum sejarah pelbagai perkara libat institusi raja yang mungkin boleh dikategorikan sebagai kurang enak untuk dibahaskan.

"Namun sekiranya ianya dibuat bersandarkan kepada hujah dan fakta-fakta sejarah, maka jika ingin menjelaskan sesuatu perkara ianya harus dibenarkan dan tidak salah dari segi undang-undang."

Katanya lagi, bagi ketiga-tiga elemen “R” itu meskipun dituduh di bawah Akta Hasutan 1948 tetapi didapati ianya bagi membincangkan sesuatu bersandarkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, ianya kemudian bokeh menjadi pembelaan.

Terdahulu, Fahmi mengundang reaksi negatif netizen selepas memberitahu pengkritiknya mereka mungkin dikunjungi kereta polis ketika sesi siaran langsung di TikTok.

Selepas dikecam hebat, beliau menjelaskan kenyataan ketika siaran langsung di TikTok itu sebagai amaran ditujukan kepada mereka yang membuat komen mengenai isu 3R dan bukan kerana kritikan terhadap dirinya.

Mengulas lanjut, Rafique mempersoalkan mengapa tiba-tiba sahaja terdapat terlalu ramai pihak dan individu yang mengkritik kerajaan dipanggil oleh pihak berkuasa.

Katanya, pemerhatiannya mendapati mereka yang sering dipanggil oleh pihak berkuasa adalah individu yang membuat kenyataan dan kritikan kepada kerajaan meskipun mereka hanya menyatakan perkara-perkara mengenai hak orang Melayu dan agama Islam.

"Adakah pihak berkuasa dengan arahan menteri atau jawatankuasa-jawatankuasa yang ditubuhkan atas arahan menteri dalam usaha untuk mendiamkan suara-suara ini?"

Tambahnya lagi, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan jelas menunjukkan kebebasan bersuara kepada seluruh rakyat Malaysia walaupun hak itu boleh dihalang atau dihadkan oleh peruntukan undang-undang yang lain.

"Tetapi adakah dengan bersuara sahaja dikatakan sebagai harus panggil polis dan panggil siasatan? 

"Adakah untuk menakut-nakutkan orang supaya tidak bersuara dan mengkritik kerana kritikan itu mungkin satu kritikan yang membina.

"Jadi perlu ada keseimbangan atau jalan tengah," ujarnya lagi.