- Iklan -
Berita

Mahkamah Rayuan kekal hukuman penjara remaja sebabkan kebakaran pusat tahfiz

Mahkamah itu juga menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan seorang lagi remaja oleh Mahkamah Tinggi.

Bernama
4 minit bacaan
Kongsi
Mahkamah Rayuan, terletak di Istana Kehakiman di Putrajaya. Gambar: Bernama
Mahkamah Rayuan, terletak di Istana Kehakiman di Putrajaya. Gambar: Bernama

Seorang pemuda kekal ditahan di penjara selama diperkenan Yang di-Pertuan Agong selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuannya untuk mengetepikan sabitan membunuh 23 mangsa dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 2017.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Abu Bakar Jais, Che Mohd Ruzima Ghazali dan See Mee Chun menolak rayuan pemuda berumur 22 tahun itu selepas mendapati dapatan salah oleh Mahkamah Tinggi yang dikenakan terhadapnya itu adalah selamat dan seharusnya dikekalkan.

Sementara itu, panel yang sama menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan seorang lagi remaja, juga berusia 22 tahun terhadap tuduhan membunuh tanpa dipanggil membela diri.

Hakim Che Mohd Ruzima yang membacakan keputusan, berkata mahkamah bersetuju dengan dapatan hakim Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa keterangan mengikut keadaan yang dikemukakan oleh pendakwaan adalah kuat dan menuding kepada satu arah iaitu pemuda berkenaan telah memanjat belakang pagar sekolah berkenaan bersama-sama dengan seorang lagi yang tidak dikenal pasti untuk menyebabkan kebakaran di sekolah tersebut yang menyebabkan 23 orang terkorban.

Beliau berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan pemuda itu bertanggungjawab memulakan kebakaran di sekolah tahfiz melalui keterangan ikut keadaan dan pemuda itu tahu bahawa perbuatannya itu bahaya sehingga boleh menyebabkan kematian. 

“Kami bersetuju dengan dapatan Hakim Mahkamah Tinggi perbuatan PKK1 (pesalah kanak-kanak) memilih satu pemetik api daripada beberapa pemetik api yang ada dalam bilik tidurnya, menunjukkan PKK1 tahu pemetik api mana yang dia gunakan  untuk memulakan kebakaran di bangunan sekolah tahfiz," kata hakim Che Mohd Ruzima.

Beliau berkata kelakuan PKK1 tersebut boleh diterima di bawah Seksyen 8 Akta Keterangan 1950 dan boleh dipertimbangkan untuk menjadi sebahagian daripada keterangan ikut keadaan yang menyokong pembuktian kes prima facie terhadap pemuda  itu.

Hakim itu juga berkata hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah (sekarang hakim Mahkamah Rayuan) tidak silap dalam keputusan beliau untuk menolak pembelaan alibi yang dikemukakan pemuda itu. Beliau berkata ini adalah kerana berdasarkan keterangan pembelaan dan keterangan di peringkat pendakwaan, pemuda itu berada di sekitar pagar belakang bangunan sekolah tahfiz sebelum kejadian kebakaran berlaku.

Berhubung rayuan pendakwaan terhadap pembebasan seorang lagi pemuda, hakim Che Mohd Ruzima berkata keputusan untuk melepas dan membebaskan pemuda itu daripada kesemua 23 pertuduhan di akhir kes pendakwaan adalah tepat dari segi fakta dan undang-undang.

Beliau berkata ini adalah kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa pemuda itu adalah orang yang menyebabkan bencana tubuh terhadap kesemua mangsa dan semasa dia melakukan perbuatan yang mendatangkan bencana tubuh, pemuda itu berniat untuk menyebabkan kematian. 

Hakim Che Mohd Ruzima berkata mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan bahawa pemuda kedua (PKK2) adalah orang kedua yang ada bersama-sama pemuda pertama memanjat pagar belakang bangunan sekolah tahfiz pada pagi kejadian.

Beliau berkata dalam pembuktian keterangan ikut keadaan untuk menyokong keterangan dua saksi pendakwaan, pihak pendakwaan bergantung kepada inferens yang dibuat ke atas kuakkan atau pembukaan yang wujud pada dawai pengadang di atas pagar belakang bangunan sekolah tahfiz itu.

Beliau berkata pihak pendakwaan berhujah berdasarkan saiz pembukaan kuakkan pada dawai besi itu yang tidak sebegitu besar, orang kedua yang masuk bangunan sekolah tahfiz itu bersama-sama dengan pemuda pertama adalah PKK2 berdasarkan saiz badannya yang kecil.

“Kami dapati wujud ruang dan luang keraguan pada fakta berkaitan kuakkan pada dawai pengadang di atas pagar belakang bangunan sekolah tahfiz tersebut. Oleh itu, inferens yang cuba diketengahkan pihak pendakwaan bagi menyokong keterangan dua saksi tidak selamat digunakan terhadap PKK2,” kata beliau.

Sebelum ini dua saksi pendakwaan telah memberi keterangan bahawa mereka ada melihat orang yang tidak dapat dikenali memanjat pagar belakang bangunan sekolah tahfiz bersama-sama pemuda pertama. 

Hakim Che Mohd Ruzima berkata sebaliknya, fakta tersebut juga boleh menimbulkan inferens bahawa individu yang dilihat bersama-sama PKK1 memanjat pagar belakang bangunan sekolah tahfiz berkemungkinan adalah dua saksi lain yang turut berada di tempat kejadian.

Dalam keterangan pembelaan PKK1, beliau menafikan telah memanjat pagar bangunan sekolah tahfiz tapi mendakwa bahawa dia ada bersama-sama dengan rakan-rakannya iaitu PKK2 dan dua saksi berkenaan.

“Sekiranya wujud lebih daripada satu inferens maka inferens yang memihak kepada PKK2 perlulah didahulukan dan faedah kepada inferens tersebut perlulah diberikan kepada PKK2.

Pemuda itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Ogos 2020 yang memerintahkannya ditahan di penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong kerana membunuh 23 individu dalam kebakaran di pusat tahfiz berkenaan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua pemuda berusia 16 tahun ketika kejadian itu bersama seorang lagi individu yang tidak dikenali, didakwa membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini, antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi pada 14 September 2017.

Dia didakwa dengan 23 pertuduhan, masing-masing mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan Seksyen 97(2) akta sama.

Peguam Haijan Omar mewakili kedua-dua pemuda manakala Timbalan Pendakwa Raya How May Ling mewakili pihak pendakwaan.