- Iklan -
Berita

Bekas peguam DoJ beritahu juri ada jumpa lelaki Cina, teruskan kempen lobi haram

Tugas George Higginbotham termasuk memudahkan beberapa urusan artis hip-hop Pras Michel dengan ahli perniagaan Jho Low.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Penyanyi rap kumpulan The Fugees yang memenangi Anugerah Grammy, Prakazrel 'Pras' Michel, yang berdepan tuduhan jenayah dalam kempen melobi secara haram, tiba bagi hujah pembukaan dalam perbicaraannya di Mahkamah AS di Washington, 30 Mac. Gambar: Reuters
Penyanyi rap kumpulan The Fugees yang memenangi Anugerah Grammy, Prakazrel 'Pras' Michel, yang berdepan tuduhan jenayah dalam kempen melobi secara haram, tiba bagi hujah pembukaan dalam perbicaraannya di Mahkamah AS di Washington, 30 Mac. Gambar: Reuters

Seorang bekas peguam di Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) memberitahu juri bahawa beliau turut bekerja bagi pihak artis hip-hop Pras Michel, sebagai sebahagian daripada kempen pengaruh asing haram untuk melobi pentadbiran Trump supaya dapat membawa pulang seorang ahli politik pembangkang ke China.

George Higginbotham memberi keterangan bahawa beliau melakukan kerja itu secara sampingan sewaktu bekerja di Jabatan Kehakiman dengan menawarkan khidmat nasihat perundangan kepada Michel, rakan lamanya. 

Tugasnya termasuk memudahkan beberapa urusan Michel dengan Jho Low iaitu seorang ahli perniagaan yang menurut pihak pendakwa raya telah menggelapkan berbilion dolar dana kekayaan negara 1MDB.

Higginbotham ialah saksi terbaru yang memberi keterangan untuk pihak kerajaan dalam perbicaraan jenayah terhadap Michel, yang dituduh menerima berjuta dolar bagi menjalankan tiga skim lobi berasingan bagi pihak Low. 

Saksi-saksi lain setakat ini termasuk pelakon Leonardo DiCaprio dan bekas pegawai Jawatankuasa Kebangsaan Republikan, Elliott Broidy. 

Higginbotham berkata beliau berasa tidak selesa ketika Michel mengarahkan beliau menyampaikan mesej kepada kedutaan China pada 2017 bahawa pentadbiran Trump sedang berusaha menyelesaikan permintaan mereka untuk mengekstradisi penentangnya Guo Wengui. Namun demikian beliau tetap melakukannya, sambil memberitahu juri ia dibuat atas dasar persahabatannya dengan Michel.

"Ini boleh menyebabkan saya berdepan banyak masalah," katanya kepada juri, sambil menambah bahawa tindakannya "sudah tentu melangkaui tugas hakiki." 

Higginbotham, yang mengaku bersalah pada 2018 atas peranannya dalam kempen pengaruh asing, dengan memberi keterangan bahawa penyiasat di Jabatan Kehakiman kemudian mendapat tahu tentang pertemuannya dan menyoalnya. 

Beberapa bulan kemudian, beliau bersetuju untuk terbang ke Hong Kong untuk melakukan pertermuan susulan dengan Low selepas Michel memberi jaminan bahawa beliau "tidak perlu bimbang tentang DoJ lagi." 

"Malangnya, itu jelas tidak berlaku," tambah Higginbotham. 

Kelakuan Higginbotham sejak itu telah ditonjolkan dalam buku bertajuk Department of Defense's Encyclopedia of Ethical Failure.